HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Oktober 2009

Page rayu dibenar teruskan PPSMI

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (Page) mahu kerajaan memberi pilihan kepada sekolah untuk meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim, berkata hasil kaji selidik terhadap sekolah di sekitar Lembah Klang, pihaknya mendapati 97 peratus ibu bapa mahu PPSMI tanpa meminggirkan bahasa Melayu.

“Kami berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, membuat pertimbangan dalam hal ini selaras gagasan 1Malaysia yang mengutamakan rakyat.

“Kita juga yakin ramai ibu bapa yang menyokong dasar ini, tetapi tidak diberikan peluang untuk menyatakannya,” kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen di sini, semalam.

Kumpulan itu yang mewakili sembilan sekolah di sekitar Lembah Klang menyerahkan memorandum berkenaan kepada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk V Saravanan.

Noor Azimah berkata, ia tidak bermakna mereka menolak dasar baru iaitu Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) diperkenalkan kerajaan bagi menggantikan dasar PPSMI.

Katanya, pilihan itu bukan saja perlu diberi kepada sekolah di bandar, malah membabitkan sekolah luar bandar dan dibawa ke jemaah menteri bagi diluluskan.

“Kami merayu Perdana Menteri mendengar suara rakyat, keputusan kerajaan menghapuskan PPSMI tidak mengambil kira reaksi ibu bapa kerana ada yang tidak membantah dasar itu.

“Bahasa kebangsaan tetap menjadi bahasa pengantar utama di sekolah. Cuma kami minta sekolah diberi pilihan bagi tujuan ini,” katanya.

Sementara itu Saravanan yang menerima memorandum itu bagi pihak kerajaan akan memanjangkan permohonan itu kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan.

Tiada ulasan: