BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Pengalaman lapan mangsa perang diseksa dan didera di Penjara Abu Ghraib, Iraq dan Guantanamo akan didedahkan kepada hadirin Persidangan dan Pameran Antarabangsa Jenayah Perang: Menjenayahkan Perang yang akan berlangsung di sini, mulai Rabu ini.
Persidangan sehingga 31 Oktober anjuran Perdana Global Peace Organisation (PGPO) itu akan membawa mangsa perang dari Iraq untuk menceritakan kisah mereka pada program di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu.
Ia juga menampilkan 18 penceramah dari kalangan aktivis serta tokoh anti perang tempatan dan asing, termasuk Ahli Parlimen Britain, George Callaway; bekas Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Cynthia McKinney dan Profesor Ekonomi Universiti Ottawa, Michael Chossudovsky.
Turut serta, bekas Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Hans Von Sponeck; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan bekas Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Sanusi Junid.
Pengerusi PGPO, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Tribunal dan Suruhanjaya Perang Kuala Lumpur turut bersidang pada 30 dan 31 Oktober bagi mendengar keterangan mangsa penderaan akibat penjajahan kuasa besar di Iraq.
“Orang ramai boleh menghadiri program bermula jam 10 pagi hingga 6 petang ini tanpa dikenakan bayaran.
“Ia bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia terhadap kekejaman dan kesan peperangan.
“Kita mahu masyarakat dunia sedar perang membunuh dan mencederakan ramai orang serta tentera.
“Perang bukan saja menjejaskan ekonomi, tetapi juga kehidupan sosial,” katanya semalam.
Persidangan dan pameran itu adalah kesinambungan usaha PGPO mendidik, mempromosi dan meraih sokongan terhadap Inisiatif Kuala Lumpur Untuk Menjadikan Peperangan Suatu Jenayah yang dilancarkan pada 2005.
Sesi pameran pada program empat hari itu pula yang berlangsung di Dewan Tun Razak PWTC, akan membawa pengunjung mendekati kezaliman serta kesengsaraan.boleh melayari laman web www.perdana4peace.org dan www.criminalisewar.org.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan