KUALA LUMPUR — Atlet sepak takraw kebangsaan akan diserap menjadi askar wataniah bagi memulihkan prestasi dan imej pasukan itu agar berada di tahap yang terbaik, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata langkah itu dibuat bagi membantu pasukan itu membentuk atlet yang berkualiti untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa.
“Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengarahkan supaya atlet sepak takraw menyertai askar wataniah bagi memulihkan prestasi buruk yang ditunjukkan pasukan itu sebelum ini.
“Sekarang kita masih dalam proses pemilihan terakhir dan pengumuman untuk atlet yang dipilih akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya dalam ucapan pada Malam Anugerah Sukan Angkatan Tentera Malaysia 2009 malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Ahmad Zahid berkata pihaknya sentiasa bersedia membantu mana-mana atlet daripada setiap lapangan terutamanya dalam aspek mental dan fizikal agar negara mampu mencipta nama dalam bidang sukan yang dipertandingkan.
“ATM (Angkatan Tentera Malaysia) bukan sahaja ditugaskan untuk menjaga keamanan dan keselamatan tetapi kita juga mempunyai kepakaran dan kemudahan yang mampu melahirkan atlet yang berpotensi.
“Ini terbukti apabila ada atlet dari ATM yang telah membantu Malaysia mencipta nama di persada antarabangsa dalam bidang sukan yang mereka ceburi,” katanya.
Dalam majlis itu Lt Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Dya Nur Suryani Mohd Taibi dipilih sebagai penerima anugerah olahragawati manakala olahragawan pula disandang oleh Kpl Faizal Abdullah daripada Tentera Darat.
Kedua-dua mereka menerima blazer sukan yang mempunyai lambang olahragawati serta olahragawan dan turut menerima piala pusingan, piala iringan serta wang tunai RM1,000.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Datuk Azizan Ariffin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan