KUANTAN - Pintu pagar Klinik Desa Sungai Miang di Pekan dekat sini, memang terlalu usang dan hampir menyembah bumi.
Sudah lima aduan dibuat oleh penduduk yang bimbangkan keselamatan kakitangan dan orang awam yang kerap ke situ, namun tiada tindakan diambil.
Semalam, pintu pagar usang itu menemui mangsanya apabila ia runtuh dan menghempap seorang jururawat berusia 41 tahun sehingga cedera parah di bahagian pinggang.
Menurut suami mangsa, Abu Talib Budin, 54, isterinya dihempap ketika sedang cuba menutup pintu pagar berkenaan semasa waktu rehat pukul 1 petang.
"Apa yang dikesalkan, banyak aduan telah dibuat kepada pihak pengurusan klinik demi keselamatan pesakit, tetapi tiada tindakan.
"Seingat saya, lebih daripada lima aduan telah dibuat. Klinik ini pula khas untuk ibu mengandung dan kanak-kanak, cuba bayangkan jika terjadi kepada mereka," katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini hari ini.
Menurut Abu Talib, selain pintu pagar bangunan yang rosak, bumbung klinik terbabit juga sering bocor.
"Atap klinik yang terkopak dan hampir runtuh ini sahaja dah lebih empat tahun... Banyak kali dah buat aduan, namun tiada tindakan hingga sekarang," katanya.
Abu Talib memberitahu, berikutan insiden itu, isterinya telah dibawa ke Hospital Pekan pada pukul 2 petang untuk mendapatkan rawatan tetapi dipindahkan ke HTAA, kira-kira empat jam kemudian.
Dia kecewa kerana kejadian itu terjadi kepada isterinya dan berharap pihak berkaitan segera bertindak bagi mengelak insiden sama berulang.
"Perkara itu sebenarnya boleh dielakkan kalaulah pihak berkaitan menyelenggara bangunan klinik tersebut dengan baik.
"Isteri saya masih menerima rawatan di HTAA dan berharap kecederaan dialaminya tidak serius," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan