KUALA LUMPUR- Langkah kerajaan memberi cuti sehari seminggu kepada pembantu rumah warga Indonesia dan membenarkan mereka memegang pasport masing-masing wajar dikaji semula kerana ia mampu membawa kesan negatif lain.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan berkata, kebenaran tersebut dianggapnya sebagai satu 'resipi yang terlalu baik' untuk pembantu rumah terbabit melarikan diri.
''Kalau tidak ada cuti dan pasport dipegang oleh majikan pun, mereka boleh bertindak melarikan diri, inikan pula jika mereka diberikan kebenaran memegang pasport sendiri.
''Sudah tentu mereka boleh membuat pelbagai perancangan.
''Seperkara lain, ke mana mereka mahu menghabiskan waktu cuti juga perlu dipantau bagi mengelak meningkatnya gejala sosial,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mewajibkan semua majikan memberi cuti sehari seminggu kepada pembantu rumah warga Indonesia selain membenarkan mereka memegang pasport masing-masing.
Perkara itu dicapai melalui perjanjian persefahaman yang ditandatangani hasil rundingan tahunan dua hala antara Perdana Menteri dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono hari ini.
Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, pihaknya tidak membantah pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu tetapi melahirkan rasa bimbang terhadap implikasi daripada pelaksanaan pemberian cuti dan pasport berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan