PULAU PINANG - Kerajaan sedang menimbangkan kemungkinan menarik balik subsidi gula dan perkara itu kini dalam peringkat kajian oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, kajian tersebut dibuat berikutan cadangan yang diterima oleh KPDNKK daripada pelbagai pihak termasuk maklum balas positif pengguna berhubung perkara itu.
Menurutnya, trend pada masa sekarang juga menunjukkan rakyat sudah sedar mengenai kemudaratan kesihatan yang bakal dialami ekoran pengambilan gula secara berlebihan sekali gus mula menolak penggunaan bahan tersebut.
"Kerajaan kini pada peringkat kajian kerana tidak mahu penarikan itu kelak akan membebankan pengguna dan pada masa sama ada pula pihak tertentu cuba ambil kesempatan menaikkan harga.
"Ingin juga ditegaskan di sini bahawa kerajaan buat masa ini tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menaikkan harga gula," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai cadangan menarik balik subsidi gula ketika ditemui selepas melancarkan laman web Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) www.consumer.org.my di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini.
Sehubungan itu, Lian Hoe berharap rakyat akan terus memberi sokongan dan peniaga pula memberi kerjasama kepada kerajaan dengan tidak menaikkan harga barangan sekiranya subsidi gula ditarik balik.
Beliau berkata, kementerian juga sudah menarik balik dan tidak akan memperbaharui lapan lesen pemborong gula kerana didapati menyorok bekalan sehingga menyebabkan pembelian panik di kalangan pengguna.
Katanya, bagi menangani isu itu, KPDNKK akan membentangkan rang undang-undang Akta Anti Pencatutan (Anti Profiteering Act) di Parlimen pada bulan depan bagi menghalang peniaga daripada mengambil untung secara melampau.
Jelasnya pada masa ini, mengikut Akta Kawalan Harga, kerajaan perlu mewartakan harga barang dan menetapkan harga siling terlebih dahulu sebelum sesuatu tindakan diambil.
"Jika diluluskan kelak, akta tersebut akan merangkumi semua jenis barangan dan peraturan mengenainya dikenakan kepada mana-mana peniaga yang tidak bertanggungjawab pada bila-bila masa," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan