BERITA HARIAN ONLINE
NIBONG TEBAL: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berpendirian tegas bahawa lelaki yang ingin berpoligami perlu mematuhi undang-undang perkahwinan ditetapkan di negara ini.
Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, mengingatkan golongan berkenaan supaya jangan memandang remeh atau memperlekehkan sistem perundangan itu.
"Pendirian saya jelas dan tegas tiada kompromi dalam isu poligami oleh lelaki Islam di negara ini kerana peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam sangat jelas.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Nur Nibong Tebal di sini, semalam. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid dan Adun Bertam, Zabariah Wahab.
Shahrizat berkata, setiap individu tanpa mengira bangsa dan agama perlu menghormati sistem perundangan bagi mengukuhkan institusi keluarga yang menjadi benteng mengelak gejala sosial.
"Ikut undang-undang. Jangan mempermainkan atau memandang ringan undang-undang perkahwinan yang ada. Jika hendak berkahwin, ikut saluran betul," katanya.
Beliau berkata, setiap anggota masyarakat perlu sentiasa menghormati dan patuh kepada sistem perundangan itu untuk kesejahte-raan hidup serta mendapat keberkatan.
Sementara itu, Shahrizat berkata, kementeriannya menyasar mewujudkan satu Dewan Nur di setiap kawasan Parlimen sebagai usaha melahirkan 4,000 usahawan wanita dalam tempoh dua tahun.
Ia adalah antara Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk meningkatkan taraf hidup melalui sumbangan wanita dalam bidang keusahawanan.
"Pembabitan wanita dalam ekonomi secara langsung akan dapat menjana pendapatan keluarga dan isi rumah sekali gus mengeluarkan mereka dari kemiskinan," katanya.
Dewan Nur dibina untuk menjadi pusat kegiatan kaum wanita menjalankan aktiviti sosial dan ekonomi.
Pembinaan Dewan Nur Nibong Tebal yang membabitkan kos RM900,000 menyediakan khidmat pra kaunseling dan latihan pembangunan kapasiti serta kemahiran bagi meningkatkan peranan wanita mencapai kesejahteraan sosial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan