HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Mei 2010

Menara Taman Botani kena roboh


Dr. Ng Yen Yen (dua kanan) menyatakan sesuatu berhubung projek pembangunan pelancongan di Taman Botani dan Bukit Bendera selepas bermesyuarat di Hotel Nothern, Georgetown, Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG - Kementerian Pelancongan akan merobohkan struktur menara di pintu gerbang Taman Botani di sini yang retak jika terbukti ia tidak selamat digunakan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil atas faktor keselamatan pengunjung walaupun kos untuk membangunkan semula pintu gerbang berkenaan agak tinggi.

Katanya, pihak kementerian telah mengarahkan kontraktor terlibat untuk menyediakan laporan lengkap tentang kerosakan yang berlaku dan keadaan pintu gerbang berkenaan sama ada ia masih selamat digunakan atau tidak.

''Kementerian beri mereka tempoh seminggu untuk menyediakan laporan terperinci tentang kerosakan yang berlaku. Kita mahu tahu sama ada ia masih boleh digunakan atau tidak.

''Jika terbukti ia tidak selamat lagi digunakan kita akan minta 'Friends Of Taman Botani' (FTB) yang dianggotai oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyediakan satu kertas cadangan tentang apa yang patut kita lakukan terhadap menara gerbang itu.

''Mereka akan menyediakan cadangan berkenaan dengan mengambil kira pandangan dan kehendak rakyat Pulau Pinang sendiri. Input tersebut akan kita kaji dan gunakan untuk membuat sebarang perubahan," katanya ada sidang akhbar selepas mesyuarat projek pembangunan dan pelancongan Taman Botani dan Bukit Bendera di sini hari ini.

Turut hadir wakil FTB dan Pegawai Kemajuan Negeri Pulau Pinang, Nik Ali Mat Yunus.

Dalam perkembangan berkaitan Yen Yen berkata, kementerian juga akan menaik taraf beberapa projek di Taman Botani termasuk pusat maklumat pelancongan dan taman 'bamboosetum' iaitu sebuah taman yang akan menempatkan pelbagai jenis buluh di rantau Asia dan projek 'Eco Stream Walk'.

''Semua projek ini yang termasuk dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan kita cuba laksanakan secepat mungkin sebelum akhir November ini," katanya.

Sementara itu, Yen Yen menyeru sektor swasta di negara ini untuk melabur dalam perusahaan butik homestay yang merupakan tarikan terkini pelancong asing.

Katanya, konsep inap desa yang banyak diusahakan kini tidak lagi menjadi pilihan pelancong kerana kemudahannya agak terhad walaupun mereka disajikan dengan suasana kehidupan kampung dan budaya tradisi.

''Butik homestay kini menjadi pilihan mereka. Di samping dapat menginap dalam suasana seperti berada di rumah sendiri, pelancong juga dapat menikmati kelengkapan dan kemudahan yang setaraf dengan hotel.

"Inilah antara bidang pelancongan baru yang patut diterokai kerana ia mampu menjana pendapatan yang lumayan," katanya.

Beliau sebelum itu menyerahkan sijil penghargaan kepada pengusaha butik homestay pertama di Malaysia, Clove Hall yang tersenarai dalam 2010 Conde Nast Hot List of New Places to Stay.

Ia adalah butik homestay pertama diiktiraf di Malaysia dan memenangi anugerah daripada majalah popular dan pusat rujukan untuk pelancong dari luar negara.

Pemiliknya, Christopher Ong yang memenangi anugerah pemilik hotel terbaik berkata, Clove Hall yang merupakan sebuah banglo lama telah wujud pada 1920 dan diubah suai dengan kos RM4 juta.

Clove Hall mempunyai enam buah bilik dengan harga RM550 ke atas untuk penginapan satu malam.

Tiada ulasan: