NABAWAN: Masyarakat bumiputera pada hari ini perlu berani menyahut cabaran dan mesti berubah hadapi dunia globalisasi.
Pembantu Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Sabah, Datuk Bobbey Suan, berkata masyarakat bumiputera perlu menerokai penggunaan teknologi maklumat (IT) untuk bersaing dengan kaum lain.
Bobbey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan berkata, masyarakat negara-negara lain di dunia pada hari ini sudah menggunakan sistem IT yang lebih canggih dalam apa juga urusan kehidupan harian mereka.
“Ke arah itulah yang perlu dicapai oleh masyarakat bumiputera di negeri ini khususnya masyarakat di kawasan Pedalaman,” katanya semasa berucap merasmikan Program Sepakat Bestari peringkat daerah Nabawan di Tamu Pekan di sini pada malam Khamis.
Beliau berkata, masyarakat bumiputera perlu menguasai penggunaan IT kerana dunia globalisasi atau dunia tanpa sempadan yang terbuka dengan kecanggihan sistem teknologi maklumat dunia masa kini menuntut setiap insan menerokainya.
Pada masa akan datang katanya, segala urusan yang berkaitan dengan kehidupan harian termasuk jual beli boleh dilakukan dengan melayari internet.
Justeru itu katanya, masyarakat bumiputera perlu bersedia menghadapinya dan mempersiapkan diri dengan kemahiran dan penguasaan IT.
Dalam masa yang sama, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu berkata, pelbagai program kerajaan telah dan akan dilaksanakan untuk membantu dan membela nasib rakyat di negara ini khususnya di kawasan pedalaman.
Namun katanya, apapun program yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak akan berhasil jika tidak ada komitmen yang sungguh-sungguh dari masyarakat.
Katanya, selain peruntukan khas yang disalurkan kepada Adun dan Ahli Parlimen pelbagai lagi program pembangunan yang disalurkan kepada Pejabat Daerah dan jabatan-jabatan serta agensi kerajaan untuk membangun masyarakat khususnya di luar bandar.
Mengenai dengan Program Sepakat Bestari Bobbey berkata, ia adalah usaha kerajaan melalui Jabatan Penerangan untuk menyalurkan maklumat-maklumat terkini yang berkaitan dengan dasar-dasar kerajaan yang perlu diketahui oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Program ini juga katanya, adalah pemangkin kepada konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najid Tun Abdul Razak.
Program itu diserikan dengan pesembahan kebuayaan Komuniti Bestari Mukim Sepulut dan Nabawan serta persembahan Pentarama Jabatan Penerangan.
Berucap sama di majlis itu Pengarah Penerangan Sabah Tuan Haji Azizan Haji Din dan Pegawai Daerah Nabawan, Bubudan O.T Majalu.
Hadir sama pada majlis yang dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang itu, Ketua Pentadbir Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Utara, Fedrick Junius; Pegawai Penerangan Daerah Nabawan, Steven Sayah; Pengerusi Komuniti Bestari Kg. Murni, Madin Hj. Arshad Ambikin; Pengerusi Komuniti Bestari Sepulut, Matusin Elloh; ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.
Pada majlis itu, Bobbey menyampaikan set komputer kepada Komuniti Bestari Kg. Murni dan mok cek Skim Bantuan Khas untuk pelajar sekolah menengah dan rendah daripada Kumpulan Yayasan Sabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan