HALAMAN SANTAI

Sabtu, 15 Mei 2010

Nama 16 pesuruhjaya Suhakam masih ditimbang, kata Nazri

KUALA LUMPUR — Senarai nama 16 pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kini dalam proses terakhir untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan pelantikan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, senarai nama tersebut sedang diteliti latar belakang mereka.

“Kita masih meneliti latar belakang 16 anggota panel yang layak supaya lantikan baru dapat dibuat secepat mungkin.

“Selepas meneliti latar belakang mereka kita akan serahkan nama tersebut kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Surat Tawaran Kelulusan (STK) di Mines Resort City hari ini.

Sebanyak 3,000 lesen baru teksi individu Lembah Klang diserahkan kepada 3,000 pemohon dalam upacara tersebut.

Nazri berkata, orang ramai boleh membuat aduan kepada Suhakam walaupun pesuruhjaya baru masih belum dilantik.

“Aduan boleh dibuat walaupun tanpa pesuruhjaya,” katanya.

Suhakam telah menerima 136 aduan daripada orang ramai sejak kesemua 16 anggota panel pesuruhjayanya melepaskan jawatan masing-masing 23 April lalu.

Bagaimanapun menurut Setiausaha Suhakam Hashimah Nik Jaafar, meskipun tanpa pesuruhjaya segala prosedur dan penghantaran memorandum mengenai pencabulan hak asasi manusia tetap berjalan seperti biasa.

“Kita tetap meneruskan pentadbiran dan pengurusan seperti biasa walaupun tanpa pesuruhjaya.

“Segala aduan yang diterima akan direkod serta menjalani penyiasatan sepertimana yang dijalankan sebelum ini,” kata beliau.

Tiada ulasan: