HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 Mei 2010

Panel khas pantau kes Aminulrasyid belum ada cadangan

Oleh erapakatan

KUALA LUMPUR : Panel khas memantau siasatan polis mengenai kematian Aminulrasyid Amzah, memutuskan masih terlalu awal untuk memberi sebarang cadangan, termasuk sama ada wujud keperluan untuk mendedahkan Arahan Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) berhubung kaedah penggunaan senjata api, kepada umum.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata laporan awal yang diserahkan kepada Kabinet 10 Mei lalu lebih kepada memaklumkan bahawa panel berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan.

Beliau bagaimanapun, mengakui masih banyak ruang yang boleh ditambah baik selepas membuat penilaian terhadap laporan awal siasatan itu.

“Terlalu awal untuk membuat sebarang cadangan. Siasatan masih dijalankan dan selagi masih dijalankan, tugas kita belum selesai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat panel khas itu di sini, semalam.

Semua ahli panel, termasuk Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ahmad Fuad Abdul Aziz yang juga setiausaha panel, hadir pada mesyuarat yang berlangsung selama hampir tiga jam.

Baru-baru ini, sebuah akhbar mendakwa panel khas mencadangkan supaya IGSO itu didedahkan kepada orang ramai dalam laporan awal berhubung kematian Aminulrasyid kepada Kabinet pada 10 Mei lalu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata PDRM bersedia mendedahkan IGSO mengenai kaedah penggunaan senjata api jika diarah, supaya orang ramai faham apa boleh dan dilarang dilakukan polis.
Minggu lalu, seorang polis berpangkat koperal, Jenain Subi, 48, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, terhadap pertuduhan menyebabkan kematian remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, akhir bulan lalu.

Abu Seman mengarahkan polis menjalankan siasatan lanjut kerana ada beberapa perkara yang tidak konsisten perlu didedahkan supaya ia dijalankan secara telus dan adil kepada semua pihak.

“Polis perlu membuat beberapa penjelasan mengenai perkara ini bagi mengelakkan pihak umum mengatakan ada ‘cover-up’ dan sebagainya.

“Apa yang penting bagi kita ialah kita mahukan kebenaran dan mahu semuanya telus,” katanya yang enggan mendedahkan secara terperinci aspek yang tidak konsisten itu

Tiada ulasan: