HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Mei 2010

Pilihanraya Sarawak : Kisah Air Masin dan janji kerajaan BN

Oleh Era Pakatan

MIRI : Ketiadaan bekalan air terutama semasa musim kemarau bukan perkara baru bagi penduduk di Niah sebaliknya masalah itu sudah membelenggu mereka sejak sekian lama.

Bukan sekali dua perkara itu dikemukakan kepada wakil rakyat dan agensi kerajaan berkaitan, namun saban tahun jawapan yang diberikan tetap sama iaitu 'kerajaan akan mengkaji perkara ini'.

Seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Rumah Mentali, Tila Chakok, 42, berkata, setiap kali musim kemarau, mereka terpaksa mengepam air dari Sungai Saeh Merah yang masin sehingga apabila digunakan untuk mandi, sabun pun tidak berbuih.

''Murid-murid sekolah tiada pilihan memandangkan itu sahaja sumber air yang mereka ada untuk mandi manakala air hujan pula digunakan untuk memasak.

''Bagi keluarga yang besar mereka menghadapi masalah kritikal untuk melakukan aktiviti harian seperti memasak dan mandi.

Berbanding keluarga kecil, mereka boleh mengangkut air bersih dari pekan Batu Niah," katanya.

Chakok yang sudah tujuh tahun mengajar di sekolah itu berkata, mereka sudah lama menggunakan air masin tersebut iaitu sejak sekolah itu dibuka lebih 10 tahun lalu.

''Dulu kita mandi di Sungai Saeh yang masin ini, namun selepas ada bekalan elektrik yang disediakan Kementerian Pelajaran sejak dua tahun lalu, kita menggunakan bekalan air yang dipam dari sungai yang sama.

''Kos pemasangan pam air ini tidak mahal, namun ia turut mengepam air yang kotor selain masin," katanya sambil memberitahu sekolah tersebut mempunyai 21 kakitangan serta 62 pelajar.

Namun jelasnya, semasa musim kemarau, air sungai tersebut susah dipam kerana sungai mulai cetek.

Selain sekolah, 12 lagi rumah di kawasan sekitarnya turut menggunakan air masin iaitu Rumah Mentali Gesa, Rumah Linan Jalak, Rumah Suring Liang, Rumah Lucas Muling, Rumah Limbang Kaiyang, Rumah Sikun Ebit, Rumah Anyai Ijau, Rumah Danggang Tubai, Rumah Jalani Mambang, Rumah Philip Gindi, Rumah Mat Burai dan Rumah Lagan Mungkun.

Tuai Rumah Anyai Ijau, 40, ketika ditemui berkata, penduduk rumah panjang di situ amat memerlukan bekalan air bersih kerana air sungai yang ada kini sudah dicemari racun dan baja kesan daripada ladang-ladang sawit di kawasan itu.

''Penduduk rumah panjang kawasan Saeh semakin bertambah, justeru kami amat mengharapkan kemudahan asas.

Sementara itu, Tuai Rumah Jalani Mambang, 60, berkata, mereka terpaksa bergantung kepada air hujan untuk untuk tujuan minuman dan memasak selain mencuci pakaian dan mandi.

Namun kemarau yang berlarutan dan air sungai yang semakin cetek menyebabkan mereka tiada pilihan selain membeli air bersih dari kedai.

Tiada ulasan: