HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Mei 2010

‘Saya gembira bekas majikan masuk penjara’

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: “Saya gembira sebab dia masuk penjara, susah untuk saya maafkan dia apabila teringatkan perkara itu, ” kata pembantu rumah warga Indonesia, Siti Hajar Sadli selepas Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap bekas majikannya, Hau Yuan Tyng.

Hakim SM Komathy Suppiah dalam keputusannya semalam, turut memerintahkan Hau, 45, membayar pampasan RM5,000 kepada Siti Hajar selepas memutuskan ibu tunggal kepada dua anak itu bersalah atas tiga tuduhan mencederakan bekas pembantu rumahnya, tahun lalu.

Komathy memerintahkan Hau dipenjara empat tahun bagi tuduhan pertama iaitu menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan air panas dan empat tahun lagi bagi tuduhan kedua dengan menggunakan tukul besi mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang berjalan secara berasingan.

Bagi tuduhan ketiga iaitu mencederakan mangsa menggunakan gunting mengikut Seksyen 326 akta sama, Hau diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan berjalan serentak dengan tuduhan pertama.

Hau, pekerja sambilan agensi pekerjaan didapati bersalah oleh mahkamah sama pada Jumaat lalu atas ketiga-tiga tuduhan terbabit yang didakwa dilakukan di rumahnya di Lanai Kiara Condominium, Jalan Kiara 3, Mont Kiara antara 11 pagi dan 8 malam pada 7 Jun 2009.

Bagaimanapun Komathy membenarkan permohonan peguam M Manoharan menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya yang akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Hau yang hadir bersama dua anaknya termasuk seorang yang mengalami autistik dibebaskan dengan ikat jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Mohd Yusoff dan Anselm Fernandis.

Tiada ulasan: