HALAMAN SANTAI

Selasa, 7 September 2010

Banglo Bkt Gasing: Pemaju boleh teruskan projek

BERNAMA


Sebuah syarikat pemaju, Gasing Meridian Sdn Bhd (GMSB) kini boleh meneruskan usaha membangunkan projek Sanctuary Ridge Kuala Lumpur City bagi membina 70 banglo di kawasan seluas 15.5-hektar di Bukit Gasing di Petaling Jaya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aziah Ali semalami menolak permohonan 108 penduduk untuk semakan kehakiman bagi mencabar perintah pembangunan yang dikeluarkan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang meluluskan projek kontroversi di lereng bukit yang merupakan satu daripada beberapa kawasan hijau berdekatan Kuala Lumpur.

Hakim Aziah yang membuat keputusan itu dalam kamar memutuskan bahawa berdasarkan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982, 108 orang penduduk itu tidak mempunyai hak untuk didengar bagi pembangunan.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak berhubung permohonan semakan kehakiman.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, peguam bagi pemaju itu, Joslyne Goonting berkata tanah itu merupakan tanah persendirian yang diperuntukkan untuk membina bangunan sejak 1977 dan bahawa pemaju itu mempunyai hak untuk memanfaatkannya.

Beliau berkata terdapat salah faham di kalangan orang awam bahawa bahawa tanah itu adalah tanah awam dan ia telah dikenal pasti sebagai kawasan hijau.

"Sebenarnya, Gasing Meridian, adalah pemilik berdaftar bagi 71 tanah milik yang dibahagikan yang telah dikeluarkan pada 1977 yang mana kategori bagi penggunaan tanah ialah untuk pembangunan," katanya.

Beliau berkata hakim juga menarik balik perintah penangguhan bagi menghentikan kerja-kerja pembinaan di mana pemaju boleh memulakan usaha membina projek 70 banglo.

Projek itu dihentikan selama 30 bulan selepas permulaan prosiding mahkamah sejak Feb 2008.

Sementara itu, peguam bagi penduduk, R Sivarasa memberitahu pemberita bahawa beliau akan mendapatkan arahan anak guamnya sama ada untuk merayu atau tidak berhubung keputusan itu.

Seorang daripada penduduk, Mohd Kamal Mohamad berkata para penduduk amat kecewa dengan keputusan itu kerana kebanyakan dariapada mereka amat prihatin dengan isu keselamatan.

Penduduk telah memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman pada Januari 2008, dengan mendakwa bahawa datuk bandar gagal mengambil kira bahawa mereka mempunyai hak di bawah undang-undang lazim untuk diberikan notis terlebih dahulu, dan diberikan peluang menyuarakan pendapat dalam proses membuat
keputusan perancangan itu.

Mereka berkata Datuk Bandar telah bertindak, bertentangan dengan dasar dan maksud Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982.

Pada 24 April, tahun lalu, penduduk diberikan kebenaran oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan bagi memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar perintah Datuk Bandar itu.

Pada 20 Nov, tahun lalu dengan keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan GMSB bagi mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi.

Permohonan kebenaran mereka bagi merayu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan juga dinafikan oleh Mahkamah Persekutuan pada 19 Mac, tahun ini dan mahkamah memerintahkan kes itu didengar berdasarkan merit di Mahkamah Tinggi.


Tiada ulasan: