GURUN — Orang ramai yang ingin belajar agama perlu merujuk dahulu kepada pejabat agama daerah atau majlis agama Islam negeri mengenai sesuatu tempat belajar bagi mengelak terjebak dalam kumpulan ajaran sesat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata ini bagi memastikan tempat yang mereka pilih untuk belajar agama itu mempunyai tauliah untuk mengajar agama.
Beliau berkata niat mengajar agama itu sememangnya baik tetapi orang ramai perlu memastikan tempat yang mereka pilih itu adalah tempat yang sepatutnya dan bukan mengajar ajaran sesat.
“Tempat ajaran sesat adanya unsur-unsur khayalan dan menyeronokkan yang menyebabkan orang mudah terpedaya. Ia macam satu tawaran yang menarik...orang yang banyak buat silap dan rasa berdosa mahu membersihkan diri dan apabila adanya cara mudah, mereka akan terpedaya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan zakat dan bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada orang miskin dan masjid-masjid dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Gurun di sini hari ini.
Beliau berkata dalam ajaran sesat terdapat ibadat-ibadat ringkas seperti nikah batin yang menyebabkan ada yang percaya mengenainya sedangkan dalam ajaran Islam sebenar tidak ada istilah nikah batin.
Jamil Khir berkata kerajaan sentiasa memantau ajaran sesat secara berterusan kerana ia boleh mengganggu gugat keyakinan orang Islam.
“Sebab itu apabila ada pemimpin ajaran sesat meninggal dunia pun kita akan terus pantau kerana kita mahu pastikan tiada ada unsur pemujaan dan ajaran itu tidak berterusan,” katanya.
Sementara itu, Jamil Khir berkata apabila Akta Halal dapat dilaksanakan mulai Oktober, kerajaan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap syarikat yang mengeluarkan sijil halal kerana sijil itu hanya boleh dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Beliau berkata undang-undang yang ada sekarang tidak boleh memaksa atau menyekat mana-mana pihak untuk mendapatkan sijil halal daripada sumber lain selain Jakim atau pihak berkuasa agama negeri.
“Apabila akta itu dilaksanakan, kita ada kuasa larang syarikat keluarkan sijil halal secara bersendirian. Syarikat tak boleh keluarkan sijil halal kerana mereka tidak boleh melakukan penguatkuasaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan