HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 September 2010

Hisham, Zunar, Amir, Jamal: Malays Are Muted Too!

MerdekaReview

Apa maknanya untuk menjadi "Tuan" yang menikmati "hak keistimewaaan" di tanah air ini, seandainya hak kebebasan bersuara, menulis, malah berkartun turut dirampas? Demikianlah soalan yang mungkin melantun-lantun dalam otak Hishamuddin Rais, Amir Muhammad, Zunar dan Jamaluddin Ibrahim, yang juga dikategorikan sebagai "bumiputera", mengikut takrifan Perlembagaan Persekutuan.

Soalan ini bertambah relevan, lebih-lebih lagi ketika rakyat dari seluruh pelusuk negara menyambut ulang tahun Kemerdekaan ke-53, dan bakal menyambut hari Malaysia ke-47 pada 16 September. Apabila buku dan majalah kartun yang diterbitkan menjadi bahan rampasan pegawai Kementerian Dalam Negeri, ketika rancangan call-in stesen radio terpaksa dipadamkan untuk memberi laluan kepada siasatan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC), ia mendeksa kita untuk merenungi erti sebenar kemerdekaan.

Malah, hubungan antara etnik dan penganut agama yang berlainan dikatakan begitu rapuh, sehingga dijadikan alasan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan dengan akta yang menekan, misalnya Akta Hasutan 1948. Pada masa yang sama, kita dikejutkan apabila pengacara stesen radio 98.8 yang berketurunan Melayu, Jamaluddin Ibrahim berjaya menarik perhatian masyarakat Cina dan bukan muslim dengan kefasihannya dalam pertuturan dan penulisan bahasa Cina.

Ahli panel

Jamaluddin Ibrahim (gambar kiri) yang diarahkan untuk "mengambil cuti" setelah rancangannya "Say Hi to Malaysia" mencungkil kontroversi, telah diberi sokongan oleh komuniti Cina yang meminati rancangannya. Dua ceramah yang dianjurkan sebelum ini, telah dibanjiri dengan peminatnya, sungguhpun tidak mendapat publisiti dalam ruang empat akhbar bahasa Cina arus perdana.

Zunar, atau nama asal Zulkiflee Anwar Ulhaque, yang terkenal dengan kartunnya yang sinis dan tajam sejak zaman reformasi tahun 1998, kini terlibat sepenuh masa dalam kerjaya lukisan kartunnya. Majalah jenaka yang dikelolakan beliau, dan koleksi karyanya yang berjudul 1Funny Malaysia, telah diharamkan oleh KDN. Biarpun cuba dibisukan, namun Zunar tetap tampil dan mengambil tindakan berani untuk menyaman KDN.

Amir Muhammad (gambar kanan), penerbit filem bebas yang terkenal dengan filem independennya, Lelaki Komunis Terakhir, sebelum ini mencetuskan kontroversi yang tidak kecil. Beliau juga seorang penulis, dan buku terbitannya berjudul "Body 2 Body: A Malaysian Queer Anthology" telah dirampas oleh pegawai KDN, dari kedai buku Kinokuniya, baru-baru ini.

Hishamuddin Rais, atau kini lebih terkenal dengan pengendali blog Tukar Tiub, sering diperkenalkan sebagai bekas pemimpin gerakan mahasiswa pada tahun 1970-an. Beliau pernah terlibat dalam pembikinan filem, ditahan kemudian di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 2001. Beliau kini lebih menumpukan masanya untuk menulis di ruang kolum di The Edge, Malaysiakini.com, dan The Sun.

Penganjur forum, Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, 1 Muted Malaysia dan MerdekaReview berharap keempat-empat ahli panel di atas berkongsi pengalaman dan pandangan mereka dengan masyarakat dari semua lapisan, merentasi batasan warna kulit dan agama.

Butiran forum seperti yang berikut:

Tarikh: 6 September 2010 (Isnin)
Masa: 8.30pm
Tempat: Auditorium KLSCAH (Tingkat atas)
Penganjur bersama: CRC-KLSCAH, 1 Muted Malaysia, MerdekaReview

Ahli panel:

1. Amir Muhammad (penerbit filem independen dan penulis)
2. Jamaluddin Ibrahim (pengacara rancangan di stesen radio 98.8)
3. Zunar (kartunis)
4. Hishamuddin Rais (Aktivis sosial, penerbit filem dan penulis, kolumnis di The Edge, Malaysiakini.com, and The Sun)

Bahasa pengantar: Bahasa Melayu / Inggeris / Mandarin

Untuk maklumat selanjutnya, sila hubungi En.Chia, staf KLSCAH 03-2274 6645.

Tiada ulasan: