SHAH ALAM- Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee dianggap cuba membakar api kemarahan khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu beragama Islam di negara ini.
Perunding Motivasi, Hushim Salleh berkata, apa yang dilakukan Namewee sebenarnya bukan disebabkan masalah emosi atau tekanan mental namun berpunca kesan pendidikan kedua ibu bapa yang sentiasa meniupkan fahaman salah dalam pemikirannya.
“Dia bukan seorang sahaja Namewee di Malaysia, dia mewakili individu lain yang tidak berani meluahkan sebarang rasa tidak puas hati. Jika tidak diambil tindakan, akan ramai lagi Namewee yang sama muncul dan tidak mustahil rusuhan kaum akan berlaku.
“Apa yang kita nampak, tindakan dilakukan pengetua di sekolah Kulaijaya itu tidak sedikit pun berbaur perkauman. Tidak salah seorang guru menggunakan kuasa yang sedia ada untuk mendidik muridnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, selain faktor didikan ibu bapa, kecetekan ilmu sejarah terutama berkenaan asal usul bangsa dan kontrak sosial negaraturut mempengaruhi tindakan Namewee.
“Pendidikan sejarah amat penting bagi membentuk personaliti seseorang dan pemahaman mengenainya dapat membantu menjauhi tindakan yang mencetuskan kontroversi seperti ini.,” katanya.
Hushim berharap sekolah di Malaysia mewajibkan mata pelajaran sejarah dan mewujudkan sekolah satu aliran seperti Sekolah Wawasan dilaksanakan ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan