HAMIR dan isteri, Mesmah Surip menunjukkan dapur rumah mereka di Kampung Minyak Beku yang tidak beratap akibat ribut.Oleh Mohamed Farid Noh
Penduduk Kampung Minyak Beku hidup ketakutan sejak tiga tahun lalu
BATU PAHAT: Sejak tiga tahun lalu, kira-kira 300 penduduk Kampung Minyak Beku, di sini hidup dalam trauma dan kebimbangan berikutan rumah kediaman mereka sering dibadai ribut serta angin kencang luar biasa.
Malah, tahun ini saja penduduk kampung berkenaan terpaksa berhadapan tiga kejadian ribut dan angin kencang luar biasa sehingga atap zink beberapa rumah di situ bukan saja rosak, malah diterbangkan angin.
Beberapa penduduk yang ditemui Edisi Johor baru-baru ini mendedahkan kekerapan ribut dan angin kencang yang melanda kampung berkenaan mula dihadapi sebaik projek terminal feri di kawasan berhampiran dimulakan.
Penduduk, Hamir Ali, 31, yang juga pengawal keselamatan berkata, ribut dan angin kencang luar biasa yang kerap melanda kampungnya bermula apabila pengusaha projek berkenaan menebang kawasan pokok bakau di sekitarnya bagi memberi laluan kepada pembinaan terminal feri.
“Dulu, ribut jarang menimpa penduduk di sini tetapi sejak 2006, apabila projek berkenaan dimulakan dan kawasan bakau ditebang menyebabkan ribut dan angin kencang yang bertiup dari arah laut tidak mempunyai kawasan penahan lagi menyebabkan ribut terus membadai rumah penduduk dan semakin menjadi-jadi pula.
“Malah, baru-baru ini rumah saya sekali lagi dilanda ribut dua hari berturut-turut pada jam 3.30 pagi selama setengah jam hingga menyebabkan isteri dan anak saya ketakutan dan tidak dapat tidur apabila kejadian berkenaan terjadi padahal awal Ramadan lalu, saya sekeluarga baru mendapat bantuan atap zink baru selepas rumah kami dilanda ribut yang merosakkan hampir keseluruhan atap rumah.
“Ketika kejadian ribut baru-baru ini yang melanda rumah saya, angin luar biasa kencangnya sehingga mengeluarkan bunyi menakutkan dan saya mengambil keputusan untuk melaungkan azan kerana bimbang keselamatan keluarga. Alhamdulillah, angin berkenaan reda selepas azan dilaungkan, namun keluarga saya kini pula semakin trauma berikutan bimbang dibadai ribut lagi, " katanya ketika ditemui di rumahnya.
Nelayan, Abdul Rahman Aziz, 59, berkata, sebagai seorang penduduk yang sudah menetap di kampung berkenaan sejak dilahirkan, ribut yang sering melanda kampung berkenaan kebelakangan ini makin membimbangkannya.
“Apabila bangun pagi selepas dilanda ribut atap zink penduduk kampung bersepah-sepah di halaman rumah saya. Bayangkan ketika kejadian ribut ada penduduk yang berada di luar, mereka mungkin dihempap atap zink yang tajam ini. Itu belum mengambil kira jika atap zink menghempap penghuni yang sedang berlindung dalam rumah.
“Dulu, jika ada pun angin kencang biasa saja, itupun jika musim tengkujuh tetapi ribut sejak dua, tiga tahun ini bukan saja lebih kuat dan dahsyat, malah membahayakan penduduk kampung, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan kawasan hutan bakau yang menjadi benteng angin kencang yang bertiup dari arah laut.
“Saya berharap pihak berkaitan meninjau masalah ribut yang melanda penduduk di sini kerana saya menjangkakan ia akan bertambah buruk dari masa ke semasa dan sebelum kejadian lebih buruk menimpa, cara bagi mengatasinya perlu dicari dan difikirkan bersama, "katanya.
Beliau berkata, antara alternatif yang boleh dibuat bagi mengurangkan kejadian ribut berkenaan termasuklah menanam semula pokok bakau di beberapa kawasan strategik bagi mengelakkan penduduk terpaksa menanggung derita dalam jangka masa panjang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan