HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 Jun 2011

Jangan Jadikan “Khazanah Alam Semulajadi Bingkor” Tercemar. Lindungi Sungai Bayayo!

Oleh: Orang Bingkor
En.Jonathan Likoh, ketika ditemubual mengenai Sungai Bayayo

Sungai Babayo merupakan sumber air utama kepada penduduk di Keningau terutama sekali kepada penduduk di mukim Bingkor, Apin-Apin dan Keningau. Sungai ini merupakan salah satu daripada sungai yang mempunyai kualiti air yang tinggi dan jernih di daerah Keningau.

Sungai Bayayo telah menjadi tempat bagi penduduk kampung untuk mendapatkan bekalan air dan air daripada sungai ini mempunyai peranan penting kepada ekonomi serta kegunaan domestik penduduk kampung. Selain untuk kegunaan pertanian dan pengairan, sumber air daripada sungai ini digunakan untuk memasak, membasuh, mandi, air minuman dan sebagainya.

Berikutan kebimbangan kerosakan dan pencemaran yang mungkin akan berlaku terhadap Sungai Bayayo, ahli jawatankuasa pemikir Koperasi Kelapa Sawit Kandang Besar Bhd. di Bingkor En. Jonathan Likoh, menyuarakan pendapat beliau sewaktu ditemui baru-baru ini menyatakan bahawa “perlu ada agen atau organisasi khas daripada pihak kerajaan untuk memantau perkembangan atau penerokaan hutan yang kian rancak diadakan di kawasan hulu Sungai Bayayo untuk menjaga dan memelihara bekalan sumber air di Bingkor.”

Katanya lagi sewaktu ditemuramah, “ketika ini boleh dilihat terdapat beberapa individu dan pihak yang tidak bertanggungjawab telah mula meneroka kawasan hutan berbukit di sekitar hulu sungai Bayayo. Pihak-pihak ini telah mula meneroka hutan untuk tujuan perladangan seperti penanaman kelapa sawit secara besar-besaran dan sebagainya dengan sewenang-wenangnya tanpa membuat penilaian dan perancangan alam sekitar terlebih dahulu.

Aktiviti perladangan seperti ini pada amnya dilihat amat menguntungkan dan dapat menjana pendapatan dan ekonomi di kawasan Bingkor. Namun begitu harus dilihat dari beberapa aspek lain selain daripada tujuan mengaut keuntungan semata-mata. Terdapat pelbagai akibat serta kesan buruk yang mungkin akan terjadi jikalau sesuatu aktiviti penerokaan itu tidak dirancang dengan betul dan dilakukan dengan sesuka hati.”

Sungai Bayayo pada hari ini yang masih bersih dan belum tercemar.

Menurut beliau, “penerokaan hutan akan membawa kepada aktiviti pembalakan dan pembersihan hutan. Ini akan menyebabkan kitaran hidrologi di kawasan penerokaan tersebut menjadi tidak stabil dan terjejas. Aktiviti pembalakan juga akan mengakibatkan kekurangan kadar susupan air ke dalam tanah dan seterusnya menurunkan kandungan paras air di dalam tanah tersebut. Ini akan menjejaskan kawasan tadahan air dan sumber bekalan air kepada sungai Bayayo. Kesan lain daripada aktiviti pembalakan ini juga akan menyumbang kepada kesan larian air permukaan yang akan membawa banyak lumpur atau kelodak ke dalam sungai. Ini seterusnya akan menyebabkan kualiti, kejernihan air dan sifat fizikal air terjejas serta akan menyebabkan mendapan sungai.”

Katanya lagi, “Sungai Bayayo yang merupakan sumber bekalan utama air kepada penduduk di Bingkor mungkin akan tercemar dan terjejas akibat daripada aktiviti penerokaan hutan tersebut. Aktiviti penanaman kelapa sawit contohnya akan merosakkan eko-sistem sedia ada pada sungai dan juga hutan di sekitarnya jika aktiviti ini tidak dirancang dengan baik. Kesan penggunaan bahan kimia untuk perladangan kelapa sawit seperti baja kimia, bahan racun serangga dan racun rumpai akan menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai dan pencemaran toksik. Kesan ini boleh terjadi apabila larian air permukaan kawasan penanaman kelapa sawit ini yang membawa bersama lebihan bahan-bahan baja kimia dan racun mengalir ke sungai Bayayo. Akibat daripada itu, air permukaan yang bertoksik akan memasuki aliran air sungai Bayayo yang seterusnya mencemarkan sumber air bagi penduduk di Bingkor dan Keningau.”

“Diharap wakil-wakil rakyat kawasan DUN Bingkor, Liawan dan Parlimen Keningau serta agensi-agensi kerajaan dapat membendung perkara ini daripada berlaku, sungai adalah khazanah alam sekitar yang harus dijaga untuk generasi kita di masa hadapan, bukan hanya untuk dihari tua pihak-pihak tertentu.”

10 ulasan:

Mohd Ishak berkata...

Ya, lindungilah sungai kita.

Tanpa Nama berkata...

harap sebarang aktiviti yang mencemarkan sungai Bayayo dapat dielakkan.

azman berkata...

apa pun yang ingin dilakukan pastikan sungai tidak tercemar..sebarang aktiviti yang boleh menyumbang kepada pencemaran perlu dielak.

NorthSouth berkata...

Pihak berwajib harus ambil perhatian mengenai perkara ini. Segala aktiviti perlu dipantau untuk mengelakkan gangguan ekosistem alam.

Tanpa Nama berkata...

sungai adalah sumber kehidupan kita, kita harus lindunginya dari tercemar.

Tanpa Nama berkata...

melainkan jika kerajaan mampu memulihkan alam sekitar kembali kepada sedia kala sama seperti sebelum kawasan itu diterokai.. kalau tidak mampu, bertindaklah sebelum terlambat..

Hamdan Hadillah berkata...

PAstikan kualiti sungai itu terjaga. Janganlah kita mencemarkan sungai yang menjadi kegunaan utama penduduk.

Hosie Masie berkata...

Jagalah kebersihan sungai kita. Janganlah cemarkan khazanah semula jadi yang ada.

kb girl berkata...

Alam sekitar mesti dijaga dan diperlindungi oleh semua pihak.

kb girl berkata...

Alam sekitar adalah kurnia Tuhan yang nilainya tidak dapat dihitung. Kenalah jaga betul-betul.