HALAMAN SANTAI

Khamis, 2 Jun 2011

Muslimat: PAS tak boleh harap undi dengan hanya ‘poster dan bendera’




SHAH ALAM — Ahli-ali PAS perlu mengambil pendekatan turun padang bertemu pengundi dan tidak bergantung pada “poster dan kibaran bendera” semata-mata untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya, kata Ketua Muslimatnya Nuridah Salleh (gambar) hari ini.

Ketua sayap itu memberi peringatan tersebut ketika desas-desus menyebut pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam waktu terdekat.

PAS bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR) mencatatkan prestasi terbaik tiga tahun lalu termasuk berjaya menarik bukan Islam membawa poster dan bendera parti itu.

“Rasulullah s.a.w telah menunjukkan dengan jelas betapa sesuatu perjuangan itu mestilah diiringi dengan pengorbanan, komitmen yang tinggi dan keberanian.

“Kalaulah setakat beramai-ramai memenuhi markas-markas dan bilik-bilik gerakan PAS, tetapi tidak pergi menemui para pengundi, hanya berbekalkan poster dan kibaran bendera, janganlah diimpikan kemenangan akan datang bergolek,” kata beliau dalam ucapan dasar Muktamar Dewan Muslimat PAS 2011 di sini hari ini.

Ia dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, “kita mesti semua turun bertemu para pengundi, baik petugas muslimat mahupun muslimin, bagi menerangkan dan menjelaskan hasrat PAS bersama-sama agenda Pakatan Rakyat (PR) kepada mereka dengan penuh bijaksana.”

Sehubungan itu kata beliau, percayalah bayangannya kelihatan sudah hampir akan tiba masa dan saatnya pengundi-pengundi yang memangkah Umno-BN hari ini, mereka itulah juga yang akan menjatuhkan perikatan itu apabila tiba saat dan ketentuan Allah.

Nuridah yang mengetuai sayap itu sejak 2007 berkata, “marilah kita merenung kembali beberapa peristiwa yang telah berlaku pada masa dulu dan sekarang bagi mengambil mutiara-mutiara perjuangan untuk menyemarakkan daya juang serta kejayaan jihad kita.”

Beliau mempertahankan kedudukannya buat penggal ketiga.

Menyentuh prestasi PAS dan PR dalam siri pilihan raya kecil sejak 2008, Nuridah berkata, bermula dengan kemenangan kemudian bersilih ganti dengan kekalahan demi kekalahan yang hadapi pada pilihan raya kecil kebelakangan ini termasuk di Sarawak April lalu, “perlu disedari ia adalah iktibar dari Allah.”

“Ia menunjukkan mesej yang amat jelas daripada Allah s.w.t bahawa tiada ‘magic’ dan jalan pintas bagi memenangi sesuatu perjuangan.

“Kejayaan sesuatu perjuangan itu memerlukan usaha-usaha yang murni, gigih dan bersungguh-sungguh serta berterusan,” katanya lagi.

Justeru soal beliau, mana mungkin pengundi-pengundi yang tidak langsung mengenali dan memahami perjuangan PAS dapat semua dirayu dan diyakinkan dalam hanya lapan hingga 10 hari berkempen.

“Di samping itu dengan penuh cabaran fitnah dan tohmahan dari Umno-BN yang tidak segan silu menggunakan seluruh kekuatan jentera kerajaan pusat dan negeri,” kata beliau.

Tiada ulasan: