HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Jun 2011

Muzakarah: Jual beli mata wang perlu patuh dawabit

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA — Muzakarah ahli-ahli Penasihat Syariah Institusi-institusi Kewangan Islam Malaysia Selasa bersepakat merumuskan bahawa perdagangan jual beli mata wang adalah diharuskan oleh syarak.

Ia bagaimana pun perlu mematuhi dawabit tertentu selain mengelakkan unsur-unsur syibh riba, tipu daya, judi, qabd yang tidak jelas dan gharar dalam operasi spot tukaran asing iaitu urus niaga jual beli mata wang dalam tempoh yang singkat secara individu melalui platform elektronik.

“Operasi spot tukaran asing ini juga didapati tidak sah dari sisi undang-undang kerajaan Malaysia,” demikian menurut rumusan muzakarah yang dibacakan oleh Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Mohamad Saari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Dipetik Bernama Online, Mohamad berkata muzakarah itu juga mencadangkan agar perkara itu diperhalusi oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC), Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan jawatankuasa fatwa negeri-negeri seluruh Malaysia mengenai keharusan amalannya di kalangan umat Islam.

Beliau berkata muzakarah turut mencadangkan agar pihak kerajaan dapat melakukan pemantauan terhadap operasi spot tukaran asing secara individu melalui platform elektronik dari semasa ke semasa.

“Muzakarah mencadangkan agar agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai larangan kerajaan terhadap operasi spot tukaran asing secara individu melalui platform elektronik bagi mengelakkan masyarakat terjebak dalam transaksi yang tidak diharuskan oleh syarak dan undang-undang.

“Penguatkuasaan ini boleh mengelakkan berlakunya penindasan dan penyelewengan oleh pihak broker ke atas peserta tukaran asing dan mengelakkan masyarakat terlibat dalam aktiviti kewangan tanpa pengawalan oleh badan berwajib,” katanya.

Selain itu, hasil perbincangan sehari itu mencadangkan agar kerajaan bertindak tegas terhadap pedagang mata wang yang tidak diberi kuasa termasuk pemain dan juga broker tukaran asing melalui internet.

Menurut Bank for International Settlements, sehingga April tahun lalu, jumlah dagangan harian di pasaran mata wang asing antarabangsa dianggarkan sebanyak AS$3.98 trilion dengan pertumbuhan sekitar 20 peratus berbanding AS$3.21 trilion setiap hari pada April 2007.

Tiada ulasan: