Aziz Muda |
KUALA LUMPUR: Ibu bapa kepada 4 remaja lelaki yang ditahan di Balai Polis Ayer Molek, Johor, di bawah Ordinan Darurat amat hairan dengan penahanan ke atas anak-anak mereka dan hanya mampu bertanya, "Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh anak saya sehingga menyebabkan mereka ditahan di bawah undang-undang itu?" Mereka ternyata amat kesal dengan tindakan pihak polis ke atas anak-anak mereka itu, apatah lagi jawapan yang diberikan oleh pihak berkuasa berhubung perkara itu amat meragukan dan tidak boleh diterima sekali-kali. "Pihak polis mengatakan anak saya terlibat dengan kesalahan jenayah samun bersenjata dan bersiri, pada hal anak saya sememangnya tidak terlibat dengan kejadian itu. "Saya memang tahu anak saya tak terlibat dengan kesalahan itu kerana dia memang tak pernah terlibat dengan sebarang kes jenayah sebelum ini. "Malah di sekolah, pihak sekolah sendiri telah mengakui anak saya itu tidak mempunyai sebarang kes disiplin," kata Rosmawati Taib, 43, ibu kepada Mohd Syahiran Tumin, 18, yang kini sedang ditahan di Balai Polis Ayer Molek. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan memorandum bantahan berhubung penahanan ke atas 4 remaja itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di pejabat Suhakam, di sini, baru-baru ini. Penyerahan memorandum itu dilakukan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat dan Penyelia Pusat Aduan Rakyat PAS Zon Permas dan Johor, Syed Othman Syed Abdullah dan diterima oleh Ketua Penolong Setiausaha Suhakam, Ameer Izyarif sekitar jam 11.30 pagi. Rosmawati yang hadir bersama suaminya, Tumin Poniram, 46, amat kesih dengan penahanan ke atas anaknya itu lebih-lebih lagi Mohd Syahiran kini sedang dalam proses untuk meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi. 28 Mac lalu, 10 orang remaja lelaki di Pasir Gudang yang sebahagiannya lepasan SPM tahun lalu ditangkap oleh pihak polis sekitar jam 11.00 malam di bawah Ordinan Darurat. Mereka kemudiannya ditahan di Balai Polis Ayer Molek. Beberapa hari selepas itu, 6 orang daripada mereka telah dibebaskan, manakala 4 orang lagi masih terus ditahan hingga kini. Remaja-remaja yang masih ditahan itu terdiri daripada Muhammad Rizal Ibrahim, 18, Muhammad Noorariff Bakran, 20, Muhammad Razif Mahadi, 18, dan Mohd Syahiran Tumin, 18. Sementara itu, Rohaya Hanim, 49, ibu kepada Muhammad Rizal Ibrahim yang turut hadir bersama salah seorang anaknya pada majlis penyerahan memorandum itu berkata, sejak ditahan, beliau menjadi tidak ketentuan kerana beliau sendiri tidak tahu apa kesalahan yang telah dilakukan oleh anaknya. "Sejak anak saya ditahan, saya hanya boleh berjumpa dengannya di Balai Polis Ayer Molek setiap hari Khamis. Itu pun hanya untuk 15 minit sahaja. "Jadi, macam mana saya tak runsing? Tambahan pula anak saya itu baru lepas SPM tahun lalu dan sekarang sedang dalam proses untuk menyambung pelajaran ke IPT. "Saya amat bimbang dengan kejadian itu, fikirannya akan terganggu dan peluangnya untuk meneruskan pelajaran juga tersekat," katanya. Manakala Mahadi Kassim, 45, ayah kepada Mohamad Razif Mahadi, 18, berkata, beliau seperti juga ibu bapa kepada rakan-rakan anaknya itu sememangnya tidak boleh terima dengan penahanan ke atas anaknya itu kerana ia didakwa dilakukan tanpa bukti yang kukuh. "Jika memang terbukti anak saya melakukan kesalahan, saya rela dia ditahan untuk membolehkan dia menerima pengajaran agar insaf dan tidak melakukannya lagi. "Tapi memang terbukti anak saya tak bersalah. Tiba-tiba dia ditahan hingga 60 hari. Lepas habis 60 hari, saya tak tahulah pula nanti apa yang akan terjadi ke atasnya," katanya. Bakran, ayah kepada Muhammad Noorariff, 20, pula berharap agar pihak berkuasa memberikan pertimbangan yang sewajarnya kepada anaknya dan rakan-rakannya itu, memandangkan kesemua mereka tidak pernah mempunyai rekod jenayah sebelum ini. |
HALAMAN SANTAI
Rabu, 1 Jun 2011
Ordinan Darurat: Apa salah anak saya?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan