KUALA LUMPUR — Di sebalik kontroversi berkaitan pejuang kemerdekaan dan sama ada negara ini pernah dijajah ataupun sebaliknya, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mahu semua organisasi dan individu yang melawan penjajah diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan.
“Tanah Melayu merdeka pada tahun 1957 manakala bagi Sabah, Sarawak pula 1963. Maka, SAMM dengan tegas mengatakan semua organisasi dan individu yang berjuang melawan penjajah sebelum tarikh merdeka wajar diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Isu itu menjadi perhatian sejak awal bulan ini ekoran kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkaitan peristiwa Bukit Kepong dan dakwaan bahawa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haji bukan pejuang kemerdekaan sebenar.
Mohamad telah dikenakan tuduhan di mahkamah minggu lalu.
Gesaan itu sebahagian daripada resolusi dibuat sempena Rapat Kebangsaan Pengurusan SAMM selama dua hari berakhir semalam.
Perhimpunan kali ini memutuskan 12 resolusi.
Dalam kenyataan itu, SAMM berkata pihaknya menyokong usaha telus penambahbaikkan sistem pilihan raya dan mendesak pilihan raya umum hanya harus diadakan selepas proses penambahbaikan selesai.
“Demokrasi negara ini sedang ‘tenat’ apabila kadar kepercayaan rakyat terhadap proses pilihan raya amat rendah, SAMM menyokong usaha telus penambahbaikkan sistem pilihan raya dan mendesak pilihan raya umum wajib hanya boleh diadakan selepas proses penambahbaikan selesai,” katanya.
Antara resolusi lain ialah:
• SAMM gesa rakyat jangan termakan gula-gula pengumuman; undang-undang tidak boleh mansuh dengan pengumuman tetapi pemansuhan harus dilakukan di Parlimen.
• Isu-isu yang menyentap sensitiviti agama dan perkauman serta permainan politik lucah yang tidak langsung menguntungkan rakyat harus segera dihentikan. Tumpuan sumber dan tenaga harus ditumpukan kepada bagaimana membantu rakyat yang semakin susah.
• SAMM menegaskan semua keperluan asas rakyat seperti pembekalan eletrik, air, lebuh raya perlu dimiliknegarakan. Pendidikan serta perkhidmatan kesihatan percuma tidak boleh dikompromi. SAMM menggesa rakyat agar menjadikan ini sebagai agenda utama penilaian ketika pilihan raya umum ke-13.
• SAMM menentang keras pengkhianatan pemerintah terhadap kedaulatan negara yang mengagihkan taraf kerakyatan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya.
• SAMM juga menyeru supaya rakyat menolak semua ahli politik atau kaum keluarganya yang menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri dan mengumpul kekayaan.
• SAMM menuntut pemerintah segera bertindak membatalkan sistem cukai yang menjerut leher rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan