Muhamad Faizal, |
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Tropicana di sini beliau beliau melahirkan keyakinan bahawa jualan AP secara bidaan umum juga lebih menguntungkan negara dan boleh menggantikan cukai eksais.
"PKR telah menjelaskan bahawa jumlah cukai RM8 bilion yang dianggarkan dikenakan ke atas rakyat sekarang ini sebenarnya akan dipulangkan kepada rakyat.
"Jumlah ini akan dibelanjakan oleh rakyat di dalam ekonomi negara yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi," katanya.
Umno BN ujarnya telah mungkir janji untuk menghapuskan AP seperti yang diumumkan di dalam Dasar Automotif Negara yang berkuatkuasa bermula 20 Oktober 2005.
Janji untuk menghapuskan AP menjelang 31 Disember 2010 tidak ditepati, sebaliknya kini sasaran itu ditangguhkan pula ke 31 Disember 2015.
"Sistem AP bukan sahaja menyebabkan harga kereta yang lebih tinggi tetapi hanya menguntungkan sesetengah pihak yang rapat dengan Umno BN.
"Janji Umno BN supaya hasil dari AP ini akan digunakan untuk membantu usahawan Bumiputra di dalam sektor automotif juga tidak ditepati," katanya.
Sehubungan itu katanya, Pakatan Rakyat menwarkan beberapa langkah baru bagi mendapatkan nilai terbaik dari AP yang dikeluarkan.
Antaranya termasuk membuka penjualan AP kepada bidaan umum bermula dengan harga-harga tertentu mengikut kategori kereta dan penggunaan bahan api.
Harga permulaan bidaan menurutnya ditetapkan pada RM10,000 bagi kategori jimat bahan api, RM20,000 bagi kategori kenderaan biasa dan RM30,000 bagi kategori kenderaan berkuasa tinggi yang menggunakan bahan api yang lebih;
"PKR percaya harga purata bagi setiap AP yang dikeluarkan boleh mencecah RM40,000 apabila penjualan AP dibuka kepada proses bidaan.
"Dengan anggaran sebanyak 70,000 AP dikeluarkan setiap tahun, ini akan membawa hasil sebanyak RM2.8 bilion setiap tahun kepada kerajaan," katanya.
Menurutnya lagi, walaupun harga AP akan ditentukan oleh proses bidaan untuk mendapatkan hasil terbaik kepada negara, penghapusan cukai eksais secara berperingkat bermakna harga kereta secara purata akan tetap turun.
Pendapatan tambahan dari hasil AP yang dirombak dianggarkan akan memastikan perbendaharaan negara kekal mendapat di antara RM2 bilion hingga RM3 bilion setiap tahun bagi mengimbangi penurunan kutipan cukai eksais.
"PKR merasakan formula ini adalah lebih baik berbanding pendekatan mencekik darah rakyat melalui cukai eksais berkali ganda yang menyebabkan rakyat terpaksa berhutang untuk membayar cukai kepada kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis ini dijangkakan akan mengumumkan satu mekanisma baru bagi mengantikan cukai eksais dalam memastikan tidak akan berlaku impak yang besar kepada ekonomi negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan