Kerajaan negeri telah menolak permohonan sebuah
syarikat pemaju hartanah tetapi meluluskan cadangan pemaju lain di
lokasi yang sama.
GEORGE TOWN: Biro Kerajaan Tempatan Gerakan Pulau Pinang mahu kerajaan negeri bersikap adil dan saksama terhadap semua pemaju dan tidak berpihak kepada pemaju tertentu dalam memberi kelulusan perancangan projek.
Pengerusinya Teh Leong Meng berkata kerajaan negeri telah menolak permohonan sebuah syarikat pemaju hartanah untuk pembinaan 22 tingkat apartmen 142 unit di Sungai Ara, tetapi meluluskan cadangan pemaju lain untuk projek 14 blok kondominium di lokasi yang sama.
“Jikalau projek 22 tingkat apartmen ditolak, maka projek 14 blok kondominium harus ditolak juga. Kami tidak menyokong pendirian dasar diskriminasi yang membezakan pemaju,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Teh berkata permohonan pemaju untuk 22 tingkat apartmen itu ditolak pada 19 Jun tahun ini kerana cadangan itu bercanggah dengan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 yang diwartakan pada 28 Jun 2007.
Cadangan itu ditolak kerana projek berkenaan berada pada aras 76 meter dengan kecerunan melebihi 25 darjah serta lokasi itu sensitif kepada bencana alam atau tanah runtuh boleh berlaku jika diganggu oleh pembangunan.
Bagaimanapun, katanya apa yang dikesalkan ialah cadangan pemaju untuk pembangunan 14 blok kondominium dengan 508 unit yang terdiri daripada sembilan tingkat dan 18 tingkat di tapak seluas 32.36 hektar itu mendapat kelulusan perancangan daripada kerajaan negeri pada 21 Feb tahun ini.
Teh mempersoalkan ketelusan kerajaan negeri dalam memberi kebenaran kelulusan perancangan kepada pemaju kerana kedua-dua cadangan pembinaan itu adalah projek di lereng bukit di lokasi yang sama.
Beliau berkata oleh kerana projek 14 blok kondominium itu telah diberi kelulusan maka kerajaan negeri harus juga meluluskan cadangan pembinaan 22 tingkat apartmen itu ataupun membatalkan kedua-dua projek itu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan