HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 Ogos 2012

Tindakan Lajim tidak gugat BN, kata Najib

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Tindakan Datuk Seri Lajim Ukin meletakkan beberapa jawatan termasuk sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) tidak menggugat kedudukan perikatan itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Presiden Umno dan Pengerusi BN berkata, biarpun setakat ini pelbagai khabar angin dan desas-desus tersebar tetapi BN akan melaksanakan langkah yang sesuai untuk terus memperkukuhkan kedudukan parti.

“Ekoran peletakan jawatan Datuk Seri Lajim maka Timbalannya, Isnin Aliasnih akan mengambil alih jawatan sebagai pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort dan juga memutuskan Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah mengawasi perjalanan Umno Beaufort dan memberi apa-apa juga bantuan yang diperlukan oleh bahagian ini untuk memastikan kekuatan Umno dan BN tidak terjejas,” katanya dipetik Umno Online.

Lajim telah digugurkan sebagai timbalan menteri Selasa lalu.

Dalam hal ini, beliau menganggap kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan ada lagi wakil rakyat BN yang akan menyertai pakatan pembangkang adalah kebiasaannya sebagai ketua pembangkang.

“Itu memang kerja dia (Anwar), yang akan janji macam-macam. Kita akan membuat langkah-langkah yang sesuai untuk memulihkan Umno dan memantapkan lagi kedudukan BN," katanya lagi.

Najib berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur.

Umno telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Lajim pada 30 Julai lalu.

Tiada ulasan: