HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Ogos 2012

Tukar royalti kepada ehsan mendahului mahkamah

Harakahdaily,
 

BACHOK: Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang menyifatkan program Konvoi NGO Royalti ke beberapa destinasi di Hulu Kelantan baru-baru ini sebagai mendahului keputusan mahkamah sangat tidak disenangi oleh ramai pihak.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Bachok Tuntut Royalti dan Pendaratan Minyak di Bachok (Cabar), Ahmad Marzuk Shaary (gambar) ketika dihubungi menyatakan sokongan penuh kepada program konvoi tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar sedar dan mengambil berat terhadap desakan dan tuntutan itu kerana ianya adalah untuk kepentingan rakyat Kelantan.

Beliau yang turut menyertai konvoi tersebut sebelum ini beberapa kali mengulangi desakan supaya gas dan petroleum didaratkan di Kelantan khususnya Bachok dengan hasrat menjunjung titah Sultan Kelantan yang  telah menyediakan zon perindustrian petroleum di kawasan Bachok seluas 4,000 ekar.

“Kalau sekiranya penganjuran konvoi tersebut mendahului mahkamah kerana tuntutan royalti oleh Kerajaan Kelantan dalam proses mahkamah, maka membelanjakan wang royalti oleh sebuah jawatankuasa  atas nama ehsan itu jauh lebih mendahului mahkamah, tidak patuh kepada perjanjian juga menghina mahkamah,” katanya.

Ini, ujarnya kerana mahkamah adalah simbol keadilan, dalam perjanjian yang telah termeterai sejak 1975 secara jelas memperuntukkan lima peratus royalti untuk kerajaan Kelantan.

Bila menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan beberapa pemimpin kerajaan pusat sendiri yang meminta pihak tertentu mengembalikan royalti untuk Kelantan.

“Saya amat berterima kasih dan bersyukur dengan beberapa kenyataan ini antaranya Ku Li dan ini menandakan bahawa perjuangan tuntutan royalti oleh kerajaan negeri kelantan sudah mula diberi perhatian, tetapi jangan hanya untuk gimik dan menarik sokongan dalam pilihanraya yang semakin hampir,”

“Semua pihak yang bersungguh menafikan royalti untuk rakyat Kelantan ini perlu akur dengan hak rakyat Kelantan dan kena berlaku adillah walaupun Kelantan di perintah oleh PAS kerana ini bukan untuk PAS tetapi untuk kerajaan dan rakyat Kelantan.

“Nak berpolitik politiklah tapi jangan sampai mendiskriminasi anak bangsa sendiri,” tambahnya.

Tiada ulasan: