Aspan Alias
Semalam
Utusan Malaysia dapat RM1.50 dari saya kerana buat pertama kali saya
membeli senaskhah akhbar propaganda UMNO itu setelah lima belas tahun
tidak membeli atau melanggannya. Saya membeli rokok di sebuah stesyen
minyak di Subang Jaya dan saya ternampak ‘headline’ muka depan akhbar
itu yang menarik hati saya untuk berbelanja sebanyak RM1.50.
Apa
yang menarik kepada saya ialah tajuk ‘Dr M tegur Nik Aziz’ di muka
depan akhbar itu. Setelah berfikir seminit dua saya relakanlah RM1.50
untuk membeli akhbar ini. Kali ini terpedaya juga saya oleh Utusan
kerana tajuknya yang menarik perhatian saya apatah lagi ia melibatkan
nama Dr M di muka depan itu.
Dalam
liputan Utusan itu, Dr M telah menegur TGNA kerana telah memberitahu
rakyat yang Tok Guru itu akan bertanding di dalam pilihanraya yang akan
datang. Dr Mahathir menuduh TGNA tidak menepati janji-janji beliau
(TGNA) untuk mengundurkan diri dari menjadi calon dalam pilihanraya yang
akan datang dan meminta rakyat supaya menolak TGNA. Dr M berkata
memilih orang yang tidak menunaikan janjinya akan membawa banyak masalah
kepada negara. Apa masalah yang dimaksudkan Dr M itu tidak pula saya
ketahui kerana saya tidak membaca laporan itu sehingga habis walaupun
saya telah membeli akhbar itu dengan berat hati.
Saya tidak
hendak sentuh tentang janji TGNA itu buat kali ini untuk memendekkan
tulisan saya ini. Saya mahu memberikan fokus kepada mungkir janji Dr
Mahathir yang telah membawa masalah kepada UMNO dan seterusnya kepada
rakyat dan negara. Selalunya orang yang sentiasa mengintai-ngintai
kesalahan pihak lawan ini akan terlupa kepada janji-janji beliau yang
beliau tidak mahu menunaikannya selama ini. Dr M tentu telah terlupa apa
yang beliau janjikan kepada rakyat khususnya ahli-ahli UMNO semasa
beliau mengambilalih kepimpinan parti itu dari Hussein Onn pada tahun
1981 dahulu.
Semasa
mengambilalih pimpinan UMNO dari Hussein Onn dalam perhimpunan agong
1981 itu Dr M telah berjanji kepada ahli-ahli UMNO melalui perwakilan di
Dewan Nirwana, Hotel Hilton, yang beliau meminta rakyat memberikan
‘signal’ jika ada tanda-tanda yang ada segelintiran rakyat yang tidak
menyukai beliau. Dengan tanda-tanda itu beliau berjanji akan
mengundurkan diri secara terhormat Itu janji beliau secara terbuka yang
beliau luahkan semasa ucapan penangguhan sebaik sahaja beliau menjadi
Presiden kepada parti yang telah beliau matikan pada tahun 1988 itu.
Tetapi
akhirnya beliau tidak menunaikan janji beliau itu dan telah membawa
masalah besar yang kita warisi pada hari ini. Beliau tidak mahu berundur
walaupun jawatan beliau itu telah dicabar dan beliau hanya mendapat
kemenangan yang begitu tipis. Kemenangan tipis ini merupakan tanda-tanda
yang jelas orang ramai sudah mula tidak berkeyakinan dengan pimpinan
dan mahukan UMNO menyampaikan signal itu kepada Dr M. Beliau bukan
sahaja tidak mahu mengundurkan diri tetapi telah meruntuhkan semua
institusi demokrasi kerana bertegas ingin melanjutkan keseronokan dan
kegilaan berkuasa sebagai PM semasa itu.
Beliau
telah mematikan pendaftaran UMNO dan dalam usaha melakukan itu beliau
mendapat reaksi keras dari ahli-ahli UMNO maka beliau telah membuang dan
memecat beberapa hakim Mahkamah Agong termasuk Ketua Hakim Negara Tun
Salleh Abas. Badan eksekutif yang beliau ketuai telah masuk campur dalam
hal perundangan dan kehakiman untuk memungkiri janji-janji beliau itu.
Akhirnya tindakan beliau itu telah memberikan banyak masalah kepada
negara dan rakyat sehingga ke hari ini.
Apa yang
beliau katakan dalam Utusan itu benar tetapi beliau sendiri tidak mahu
menunaikan janji-janji beliau dan sanggup membunuh semua institusi
demokrasi negara semata-mata keinginan beliau untuk berkuasa terus
menerus sambil memungkiri semua janji-janji beliau semasa mula-mula
mengambilalih kepimpinan dari Hussein Onn pada tahun 1981 itu.
Dr
Mahathir telah banyak memungkiri janji-janji beliau sendiri dan beliau
tidak boleh menuduh TGNA sebagai pendusta kerana tuduhan itu sepatutnya
beliau arahkan kepada diri beliau sendiri. Pada tahun 1985 sebuah
parti baru, Parti Bersatu Sabah (PBS) telah ditubuhkan secara
tergesa-tergesa beberapa hari sebelum Sabah mengadakan pilihanraya
negeri. PBS telah menyertai pilihanraya negeri untuk menumbangkan parti
Berjaya. Mahathir telah pergi ke Sabah dan berucap dan berjanji secara
terbuka yang beliau akan ‘swim and sink’ dengan Berjaya. Beliau memihak
kepada Berjaya pimpinan Haris Salleh dan berulang-ulang kali berjanji
untuk berenang dan tenggelam bersama Berjaya.
Tetapi
apabila Berjaya tewas termasuk Presiden Berjaya, Harris Salleh yang
ditewaskan oleh Kaduh Agundun di Tenom, Dr M telah lari dan memungkiri
janji-janji beliau dengan parti Berjaya. Kebetulan saya berada di Kota
Kinabalu dan mendengar ucapan beliau secara berdepan dan saya mendengar
segala janji-janji beliau kepada Berjaya semasa itu. Dengan tangkas
sekali Dr M telah membawa PBS ke dalam BN dan menjadi rakan komponen
kepada BN pimpinan Dr M dari peringkat Persekutuan itu. Berjaya
tenggelam tetapi Dr M tetap berenang dan meninggalkan Berjaya
terumbang-ambing dan hanyut sampailah parti itu mati begitu sahaja.
Mahathir terus berenang sampai 22 tahun berenang dan menenggelamkan
semua musuh-musuhnya yang menghantui kedudukan beliau.
Janji-janji
beliau untuk membangunkan negara tidak sampai ke mana kerana beliau
hanya mampu untuk membina bangunan tinggi-tinggi, jambatan yang
panjang-panjang di dunia. Beliau hanya mampu membina pembangunan fizikal
yang merupakan sebahagian pembangunan negara. Pembangunan fizikalnya
pesat kerana ia melibatkan projek-projek runding terus yang mahal-mahal
untuk kepentingan kroni-kroni dan kebanyakan projek-projek tersebut
adalah projek-projek cadangan kroni-kroni dan bukannya untuk keperluan
rakyat dan negara. Projek-projek tersebut hanya memberikan keuntungan
kepada segelintiran kroni dan keluarga beliau .
Tetapi dalam pembinaan sikap dan ‘mentality’ terhadap rakyat tidak ada langsung sehinggakan pembangunan infrastruktur yang besar-besar itu tidak ‘commensurate’ dengan pembangunan nilai dan budaya bangsa.
Rakyat
menjadi ahli masyarakat yang ‘materialistic’ yang mengutamakan pengisian
perut dan tempolok mereka yang hampir kepada kuasa dan rakyat
dipermainkan dengan gula-gula serta coklat manis-manis untuk melekakan
mereka dan meneruskan sokongan terhadap kepimpinan yang tidak jujur dan
ikhlas itu.
Dr M ini tidak dapat diikut kerenahnya lagi. Dalam satu masa dia mengatakan UMNO sudah busuk sampai ke usus dan mengatakan UMNO bukan untuk yang pandai, cerdik dan bijak. UMNO hanya untuk yang bodoh-bodoh dan yang tidak mempunyai tulang belakang. Tetapi dalam satu masa yang lain Dr M mahukan rakyat memberikan sokongan berterusan kepada UMNO dan BN.
Dalam
keadaan UMNO yang lemah Dr M meninggalkan parti dan apabila partinya
hilang sokongan tradisi 2/3 beliau menyalahkan Abdullah Badawi. Dr M
menyertai kembali UMNO selepas musuh yang dibencinya Abdullah meletakkan
jawatan sebagai PM. Apabila kembali menyertai partinya beliau menuduh
UMNO itu parti yang rasuah. Dalam pilihanraya yang lalu beliau
berkehendakan sangat rakyat supaya tidak memilih parti tetapi memilih
calon.
Tetapi
sekarang Dr M mahu semuanya mengundi sesiapa sahaja yang diturunkan oleh
parti untuk menjadi calon. Beliau telah ‘obsess’ dengan kehendak beliau
untuk memenangkan BN sehinggakan beliau meminta semua pemimpin
bersumpah tidak akan mensabotaj parti dalam pilihanraya yang akan datang
ini sedangkan beliau sendiri adalah pensabotaj UMNO yang terbesar dalam
sejarah kewujudan parti itu, sehinggakan beliau sanggup membunuhnya. Dr
M bukan sahaja setakat pensabotaj parti tetapi beliau adalah pembunuh
parti itu.
Habis
keliru rakyat dengan kata-kata Dr M ini. Nak diikut nasihatnya nanti
beliau akan menasihati kita melakukan perkara yang dulunya beliau tidak
suka. Entah yang mana satu nasihat yang patut diikuti dan entah mana
satu kata-katanya yang benar. Lidahnya sentiasa berubah dan jika ada
kesempatan elok kita minta Dr M membuka mulutnya lebar-lebar untuk
melihat apa jenis lidah yang ada di dalam mulut beliau itu. Kalau ia
bercabang hendak juga kita tahu berapa cabangnya.
Pendeknya
nasihat beliau kepada TGNA itu elok kita abaikan sahaja kerana jika kita
terima nasihatnya, nanti dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi Dr M
akan menasihati untuk berbuat perkara yang lain pula.Sesungguhnya Dr M
hanyalah seorang yang bermain-main dengan politik yang melakonkan
berbagai-bagai watak. Kadang-kadang watak baik tetapi selalunya beliau
melakonkan watak sebagai orang jahat yang tidak senang dengan kebaikan
yang dilakukan oleh orang lain.
Tetapi apa
pun watak yang dilakonkan oleh beliau, Dr M gagal untuk menjadi
negarawan. Beliau tidak mungkin mampu untuk menjadi negarawan lagi
kerana beliau hanyalah seorang aktivis politik yang sekarang bermain
dengan pihak yang hendak digugurkan oleh rakyat ramai.
Mungkin
oleh kerana penyelia kemas dan pegawai penerangan khas gagal untuk
melaksanakan tugas mereka maka Dr M lah yang mengambil alih tugas mereka
untuk berkata-kata perkara yang mungkar sentiasa.
Tetapi
kita tidak harus berasa kesal dengan tindakan Dr M ini kerana beliau
dari dahulu sampai sekarang hanya kekal dalam keadaan rakyat
berpecah-belah. Dalam keadaan rakyat sedang bersatu di luar BN ini Dr
Mahathir nampaknya tidak akan menjadi orang yang relevan lagi untuk
negara dan rakyat.
Tidak ada
siapa yang boleh membetulkan Dr M ini. Hanya Tuhan sahaja yang boleh
melenturnya. Kita abaikan sahaja pandangan beliau. Biarkan beliau
bercakap kepada dirinya sendiri semahu beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan