HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Oktober 2012

KEADILAN ke Bank Negara, gesa siasatan RM40 juta Musa Aman


Oleh Aedi Asri

KUALA LUMPUR 24 Oktober: KEADILAN akan melaporkan kepada Bank Negara esok berhubung skandal wang RM40 juta milik Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan menggesa perkara itu disiasat, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin sebelum ini menjamin kewibawaan Bank Negara Malaysia (BNM) dan reputasi Gabenornya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam menjalankan kawalan dan pemantauan kewangan.

“(Ketika itu) dia merujuk isu dana asing Suaram (Suara Rakyat Malaysia)…Kita tak pertikai kewibawaan BNM (tapi) jangan hanya hebat bila siasat Suaram.

“(Justeru) sebagai parti politik yang bertanggungjawab, KEADILAN putuskan untuk ke BNM dan bantu (BNM) dengan memetik Akta 613 (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram) yang beri sebab kukuh untuk BNM ambil tindakan seterusnya,” kata Ahli Parlimen Machang itu pada sidang media di Parlimen hari ini.

Pada 2008, ahli perniagaan, Michael Chia ditahan di Hong Kong bersama wang Singapura bernilai RM40 juta atas tuduhan pengubahan wang haram.



Chia kemudian memberitahu Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) bahawa wang itu untuk Musa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengatakan wang itu adalah sumbangan politik kepada Umno Sabah, tanpa mendedahkan penyumbangnya.

Siasat bawah Akta 613

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, KEADILAN telah mengumpul bukti dan maklumat bagi membolehkan laporan dibuat kepada BNM di bawah Akta 163.

Menurutnya, mengikut Seksyen 14 Akta 613, sebuah institusi kewangan perlu melaporkan segera kepada BNM jika ada kakitangannya mengesyaki wujud pemindahan wang bersabit kegiatan haram atau hasil dari kegiatan haram.

“Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Seri Nazri Aziz (22 Oktober lalu) bahawa wang itu dibekukan pihak berkuasa Hong Kong jelas tunjukkan asas untuk mengesyaki ia berpunca dari kegiatan haram.

“Kenyataan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Bumburing bahawa wang itu dipindah ke akaun peribadi seorang pemimpin Umno Sabah patutnya segera timbulkan syak wasangka, kerana pendapatan ahli politik di Malaysia tidaklah seberapa,” katanya.

Jelas Rafizi, Seksyen 16(3) akta sama pula menyatakan institusi kewangan wajib ambil semua langkah yang perlu untuk menjejaki identiti pemilik wang, lebih-lebih lagi jika libatkan pemegang akaun yang tidak ada sebarang aktiviti perniagaan dari negara asal wang itu dipindahkan.

“Kenyataan Nazri bahawa wang itu milik Umno serta keterangan Wilfred ia dipindah ke akaun peribadi adalah contoh salah laku yang perlu dilapor di bawah seksyen ini,” katanya.

KEADILAN percaya BNM punya asas kukuh untuk mulakan siasatan dan kuasa yang luas untuk menyiasat individu yang terlibat.

“Akta 613 wajibkan bank siasat individu terlibat dan jika pemindahan wang tiada kaitan dengan operasi perniagaan di luar negara, ia asas kukuh untuk laporkan kepada BNM agar siasatan dimulakan,” katanya.

“Umno cuba pertahankan perkara yang tidak boleh dipertahankan…mereka silap kalau ingat rakyat akan terima sahaja (alasan yang diberikan),” tegas Rafizi.

Tiada ulasan: