HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Oktober 2012

Tony Pua hanya ‘kepoh’ tentang rumah mampu milik di Selangor, kata timbalan menteri


KUALA LUMPUR— Berikutan dakwaan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara yang mengatakan Pengerusi MCA Selangor, Donald Lim berbohong isu perumahan mampu milik kerajaan Pakatan (PR) Selangor, Datuk Donald Lim hari ini menyifatkan Pua sebagai “kepoh” dan “menyibuk”.

Timbalan Menteri Kewangan itu juga turut menegaskan Pua masih baru dalam politik dan belum mempunyai pengalaman luas serta perlu menunjukkan sikap seperti orang yang mempunyai pendidikan, dan bukannya “menjerit-jerit” berhubung isu berkenaan di Parlimen.

“Tony Pua ini orang baru, kita tahu semangat dia berkobar-kobar ... tapi kita perlu ada pengalaman.
“Saya sudah lama, saya pembangkang di Selangor, dia cuma jadi kepoh sahaja sedangkan dia sendiri tidak tahu (jumlah rumah) ... semua data dia dapat daripada exco,” katanya kepada pemberita di sini selepas merasmikan Expo Pelancongan anjuran Persatuan Pelancongan Cina Malaysia di sini.

Jelas Lim (gambar) lagi, Pua perlu mengemukakan bukti rumah yang benar-benar dibangunkan kerajaan PR Selangor, dan menunjukkan kepadanya lokasi rumah-rumah tersebut dan sekiranya dakwaannya mengatakan Selangor hanya membina 1,000 rumah kos rendah itu salah, beliau sedia memohon maaf kepada ahli Parlimen DAP itu.

“Tiada masalah untuk saya meminta maaf kalau saya salah ... (tapi) saya tanya dia perlu jawab, sama macam di Parlimen, dia tanya saya jawab ... dia perlu  kemukakan bukti,” tegasnya.

Sebelum ini, MCA Selangor telah mencabar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menunjukkan 23,000 unit rumah kos rendah yang dijanjikan semasa pilihan raya lalu.

Lim juga berkata, dalam janji PR untuk membina rumah kos rendah, mereka cuma dapat menyiapkan 1,000 unit rumah sahaja.

Beliau juga turut meminta Pua menyatakan lokasi  23,637 unit rumah yang dikatakannya sebelum itu, dan mendakwa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kini lebih berminat untuk membangunkan kediaman mewah daripada kediaman kos rendah atau sederhana.

Pua bagaimanapun membidas kenyataan Lim dan menegaskan bahawa bukan satu peratus, tetapi 25 peratus rumah kos rendah dan sederhana yang dirancang di negeri itu, telah pun disiapkan.

Malah, Pua turut berkata jawapan Selangor di Dewan Undangan Negeri menyatakan dengan jelas bahawa 5,526 unit perumahan kos sederhana rendah dan sederhana, telah siap.

Ini adalah kira-kira 25 peratus daripada 23,637 yang dirancang oleh kerajaan negeri Selangor, dan ianya bercanggah dengan dakwaan Lim di Dewan Rakyat bahawa “tidak sebuah pun rumah kos rendah atau sederhana telah dibina” oleh Selangor sejak Mac 2008.

Pua turut menyelar Lim dan berkata,”sebagai seorang jurutera sivil, Lim harus tahu bahawa 25 peratus siap dalam tempoh empat tahun adalah ‘terpuji’ kerana merancang, meluluskan dan membina rumah bukan seperti ‘memesan sepinggan char koay teow.’’

Selain projek Bangi, kerajaan negeri juga membina 135 unit rumah mampu milik di Sungai Long yang dijadual siap tahun depan, dan 563 unit di Shah Alam, jelas Pua.

Beliau juga menegaskan adalah menjadi kewajipan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membangunkan rumah, walaupun rumah tersebut dibina oleh kerajaan negeri Selangor.

Tiada ulasan: