HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Oktober 2012

Skandal RM40 juta: PKR lapor Bank Negara

FREE MALAYSIA TODAY

PKR mahu Bank Negara siasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.



PETALING JAYA: PKR hari ini membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia agar satu siasatan dijalankan berhubung wang RM40 juta yang diseludup dari Hong Kong dan dipercayai dimasukkan ke dalam akaun peribadi seorang pemimpin Umno Sabah.

Setiausaha Agungnya Dato’ Saifuddin Nasution Ismail berkata, semalam Ahli Parlimen Tuaran Dato’ Seri Wilfred Bumburing berkata bahawa wang RM40 juta itu dimasukkan terus ke dalam akaun peribadi seorang pemimpin Umno negeri itu.

“Ini mengesahkan bahawa pemindahan wang itu berkemungkinan besar telah melanggar undang-undang negara terutamanya peruntukan-peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Akta 613), katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata selain kenyataan Bumburing, penjelasan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohamed) Nazri Abdul Aziz di Parlimen baru-baru ini juga diteliti oleh pihaknya.

“Percubaan Nazri untuk melepaskan Ketua Menteri Sabah Dato’ Seri Musa Aman dari tuduhan rasuah membabitkan wang RM40 juta itu sebenarnya menguatkan lagi persepsi bahawa ada unsur-unsur rasuah dan pelanggaran undang-undang yang terlibat.

Menurut Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang, PKR memang telah lama mengumpulkan bukti dan maklumat bagi membolehkan satu laporan di buat kepada Bank Negara di bawah Akta 613 untuk menyiasat pemindahan wang tersebut.

“Apatah lagi apabila pemindahan wang tersebut dipercayai membabitkan hasil dari kegiatan pembalakan yang mempunyai unsur rasuah sehinggakan ia disiasat oleh ICAC (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

Katanya, sesebuah institusi kewangan perlu melaporkan segera kepada Bank Negara Malaysia sekiranya sebarang pegawai atau kakitangannya mengesyaki bahawa satu pemindahan wang adalah bersabit kegiatan haram atau hasil dari kegiatan haram.

Jelas beliau, “kenyataan Nazri bahawa wang RM40 juta dibekukan oleh pihak berkuasa di Hong Kong secara jelas menunjukkan bahawa ada asas untuk mengesyaki wang tersebut berpunca dari kegiatan haram.”

“Sebarang pemindahan dari akaun yang dibekukan kerana disyaki mestilah turut disyaki oleh bank Malaysia yang menerimanya, maka peruntukan Akta 613 mewajibkan bank tersebut melaporkan segera kepada Bank Negara Malaysia.

“Kenyataan Nazri bahawa wang RM40 juta adalah milik Umno Sabah dan keterangan Bumburing bahawa wang tersebut dipindahkan ke akaun peribadi seorang pemimpin Umno adalah salah satu contoh salahlaku yang perlu dilaporkan di bawah Seksyen 16(3), Akta 613,” kata Saifuddin.

Tiada ulasan: