HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 November 2012

Apa amanat Najib kepada Umno?

 
Presiden Umno mahu BN menang besar dalam pilihan raya kali ini bagi menebus tsunami 2008 di mana parti itu tidak memiliki majoriti di Parlimen.



PETALING JAYA: Perhimpunan agung Umno Umno kali ini adalah untuk mengesahkan kesediaan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke 13.

Tirai perhimpunan dibuka dengan perasmian perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam esok.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak  mahu BN menang besar dalam pilihan raya kali ini bagi menebus tsunami 2008 di mana parti itu tidak memiliki majoriti di Parlimen.

Kekalahan besar itu merupakan yang pertama bagi BN dan sangat memalukan bagi sebuah parti yang sangat berpengalaman dan kaya.

Bagaimanapun, tumpuan pasti lebih kepada amanat Najib pada majlis perasmian perhimpunan pada hari Khamis ini.

Anak bekas Perdana Menteri kedua itu akan mengetuai pilihan raya umum yang pertama selepas mengambilalih jawatan dari Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Mac 2009.

Najib berulang kali meminta rakyat khususnya pengundi menolak pembangkang dan terus memberi mandat kepada BN.

Menurutnya, rakyat perlu menolak pembangkang kerana ketidak sehaluan perjuangan PAS, PKR dan DAP, PKR terutamanya menurut Perdana Menteri memperjuangkan pendirian yang boleh disangsi termasuk kefahaman yang terlalu liberal dan pluralisme yang juga boleh menimbulkan banyak kontroversi.

Parti utama orang Melayu

Manakala fokus yang lain ialah beliau meminta anggota Umno mendedahkan bahawa PAS adalah sebuah parti politik yang berselindung di sebalik imej Islam.

Perdana Menteri berhujah tujuannya ialah supaya Umno akan muncul sebagai parti yang utama dalam kalangan orang Melayu.

“PAS perlu menggambarkan parti itu sebagai sebuah parti Islam. Tapi sama ada perbuatan itu (doa menghancurkan Umno dan Barisan Nasional, BN) adalah benar-benar menepati prinsip dan syariat Islam atau sebaliknya ia merupakan sebuah parti politik yang berselindung di sebalik imej Islam. Itu yang harus dibincang oleh parti Umno.

“Kalau kita dapat mengetengahkan hujah-hujah yang bernas, maka kita boleh muncul sebagai parti yang utama di kalangan orang Melayu,” katanya seperti dilapor Bernama Sejak 2008, pembangkang berusaha menawan Putrajaya dalam pilihanraya umum ke 13 ini. Malah serangan ke atas BN semakin dipertingkatkan sejak kebelakangan ini.

Pakatan bergabung dengan NGO melancarkan pelbagai usaha termasuk himpunan Bersih semata-mata untuk mengajak rakyat menolak Najib dan BN.

Isyarat untuk menebus tsunami telah menjadi pertunjuk dengan kemenangan besar BN dalam pilihan raya di Sarawak.

Faktor Dr M

Malah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menyokong BN dengan meminta rakyat memberi undi kepada kerajaan sedia ada.

Walaupun ramalan dari individu dan pihak tertentu mengatakan Najib berdepan laluan sukar, BN tetap mempunyai kelebihan.

Program mendekati rakyat dengan pelbagai janji hanya akan teruji di hari pengundian nanti.

Cuma yang Najib lebih bimbang ialah terhadap sokongan di kalangan pengundi muda dan masyarakat Cina.

Selain isu pilihan raya, perwakilan dijangka turut membahaskan mengenai pencapaian orang Melayu dalam ekonomi negara serta beberapa isu lain seperti kedaulatan agama Islam dan Ketuanan Melayu.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin juga mengakui betapa pentingnya perhimpunan ini.

Kata ahli Parlimen Rembau itu, penting untuk digunakan sebagai peluang menaikkan semangat ahli dan jentera parti bagi menghadapi PRU akan datang.

Ia bagi memastikan persiapan akhir dalam tempoh beberapa bulan sebelum PRU diadakan digunakan dengan baik.

“Ia termasuk memastikan segala persiapan sama ada jentera, logistik dan hujah di kawasan masing-masing dapat dijalankan dengan mantap,” katanya.

Dalam pada itu, perhimpunan berkenaan juga menjadi peluang kepada Umno untuk menjelaskan kepada seluruh rakyat khasnya ahli parti dan perwakilan mengenai perbandingan di antara apa yang kerajaan  dan BN tawarkan dengan janji yang ditabur pembangkang.

“Kita perlu memberi keyakinan kepada rakyat yang kita sudah belajar daripada kesilapan lalu dan pada masa yang sama banyak perubahan sedang dilaksanakan di bawah program transformasi BN,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: