Roketkini.com.
KUALA LUMPUR,: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengingatkan semua pemimpin, ahli dan penyokong DAP dan Pakatan Rakyat (PR) tidak lalai dan bersedia mungkin Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ditunda ke April walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh membubarkan Parlimen dalam tempoh 12 hari sebelum ulangtahun kelima “tsunami politik” 8 Mac 2008.
Katanya, permulaannya beliau diberitahu oleh “sumber yang boleh dipercayai” bahawa Parlimen akan dibubarkan pada 22 Februari, hari pencalonan dan pembuangan undi pula ditetapkan pada 16 Mac dan 30 Mac, selepas mesyuarat peringkat tertinggi strategis politik Najib di Putrajaya, 9 Januari lalu.
Bagaimanapun, menurutnya, 22 Februari itu sudah berlalu tanpa pembubaran, walaupun tarikh lain dalam Februari juga dispekulasikan sebagai berkemungkinan untuk Najib membubarkan Parlimen.
“Secara umumnya kini dipercayai bahawa terdapat penundaan lagi bagi PRU-13 yang mana pembubaran pada pertengahan Mac dan tarikh pembuangan undi pada minggu kedua April.
“Walaupun rancangan asal strategis politik Najib untuk membubar Parlimen pada 22 Februari dan minggu terakhir Februari sudah hancur kerana beberapa kesilapan politik Perdana Menteri ketika Tahun Baru Cina, termasuk yang paling terkenal ialah bencana politik dan perhubungan awam ketika jemputan berjuta ringgit bintang K-Pop Korea Psy dan Gangnam Style ke Pulau Pinang.
“Najib juga mencatat dua rekod buruk sebagai Perdana Menteri paling lama tanpa mandat pilihan raya beliau sendiri, penggal Parlimen paling panjang di bawah pemerintahannya hampir berakhir,” katanya dalam kenyataan media Pengiraan Detik 46 Hari ke PRU-13, di sini, semalam.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, muslihat Perlembagaan itu membolehkan Najib mendapat 50 hari lagi untuk diguna bagi menyelamatkan jawatannya.
Katanya, sekiranya empat tahun sebagai Perdana Menteri keenam tidak dapat memyelamatkan Najib pada PRU-13, cukupkah 50 hari lagi untuk beliau guna bagi menyelamatkan diri beliau yang menjadi sejarah sebagai Perdana Menteri yang takut kehilangan jawatan sehingga terpaksa melanggar kebiasaan politik dan melangkaui lima tahun hayat biasa sesebuah penggal Parlimen.
“Saya tidak rasa berbaloi untuk mendapat kelebihan beberapa minggu atau bulan bagi membubarkan Parlimen hanya untuk dikenang sebagai Perdana Menteri yang tidak berani mendapatkan mandat rakyat sepanjang tempoh lima tahun penggal Parlimen, melainkan Najib benar-benar yakin beliau bakal mencipta rekod keempat sebagai Perdana Menteri UMNO/BN terakhir memenuhi ramalan RAHMAN.
“Atas sebab itu, saya rasa pembubaran Parlimen ke-12 sebelum 8 Mac ini berkemungkinan berlaku dan sudah tentu Najib tidak berfikir dua kali lagi mengenai pembubaran Parlimen sekarang atau beberapa hari terakhir Februari sekiranya rancangan asalnya tidak menjadi kucar-kacir,” katanya.
Menurutnya, Najib menjadi begitu terdesak sehingga melakukan perkara sebaliknya, walaupun tidak akan menarik balik atau memungkiri komitmen seperti apa yang Mahathir lakukan selepas PRU 1999 apabila memungkiri sokongan “secara prinsipnya” BN kepada 83 Tuntutan Suqiu, lalu menuduh siapa yang menyokong Suqiu sama seperti “komunis” dan “pengganas Al-Maunah”.
Contohnya, beliau berkata, lawatan ke Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Dong Zong, julung kali dilakukan seorang Perdana Menteri mewujudkan kekecewaan bahawa beliau akan mengumumkan pengiktirafan menyeluruh kerajaan terhadap UEC dan juga kebenaran menubuhkan Sekolah Menengah Cina Persendirian di Petaling Jaya, Puchong, Johor Bahru dan Segamat.
Selain itu, katanya, menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International (TI) walaupun Malaysia di bawah pemerintahan beliau paling korup berbanding lima Perdana Menteri sebelumnya.
“Najib perlu tahu bahawa tiada jaminan bahawa sebarang penangguhan mengadakan PRU13 akan menjadi kelebihan buatnya, terutamanya semakin banyak pendedahan skandal di bawah pemerintahan beliau termasuk pendedahan oleh penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam dan pengedar permaidani, Deepak Jaikishan,” katanya. – Roketkini.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan