HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Februari 2013

Kit Siang cadang tubuh Suruhanjaya Audit Khas untuk audit setiap ringgit perbelanjaan PRU-13

Roketkini.com



KUCHING, : Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencadangkan  Suruhanjaya Audit Khas ditubuhkan untuk mengaudit setiap ringgit yang dibelanjakan untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sama ada oleh calon atau parti politik terbabit dan hasil pengauditan itu nanti didedahkan kepada umum.

Selain itu, beliau juga mencadangkan penambahan 10 mata bagi Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International (TI) untuk memastikan mereka yang menandatangani dokumen bermakna itu mewujudkan era baru integriti.

Katanya, perincian kepada tambahan 10 mata itu boleh dibincang dan diputuskan oleh TI dan mereka yang menandatangani ikrar itu dalam satu persidangan meja bulat tetapi perlu termasuk lima mata pengisytiharan aset oleh Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar sebelum mereka memegang jawatan.

“Memandangkan Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar UMNO/Barisan Nasional perlu menghantar pengisytiharan aset mereka kepada Perdana Menteri ketika menyandang jawatan dan selepas pilihan raya umum, bukan masalah besar untuk didedah kepada umum.

“Mereka berikrar “tiada politik wang” pada PRU-13, bermakna setiap ringgit yang dibelanjakan untuk PRU-13, sama ada oleh calon atau parti politik terbabit mesti diakaun dan diaudit.

“Ikrar itu supaya mereka tidak mengungkit peristiwa 13 Mei atau menggunakan politik menakut-nakutkan, ugut atau kebencian pengundi serta iltizam supaya pilihan raya bebas, adil dan bersih yang dipantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang adil dan bersih termasuk pemerhati dalam dan luar negara.

“Sekatan terhadap Senator Australia, Nick Xenophon daripada memasuki Malaysia sepatutnya dihentikan memandangkan tiada alasan sah untuk menafikan kemasukkannya atau mengusirnya,” katanya ketika berucap pada ceramah DAP di Chonglin Park, Kuching sempena Pengiraan Detik 45 Hari ke PRU-13, di sini, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, ikrar itu juga untuk menerima keputusan pengundi pada PRU-13 dan memastikan peralihan kuasa secara aman di Putrajaya sekiranya itu kehendak pengundi.
Beliau berkata, banyak lagi dakwaan rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa sedang menunggu untuk didedahkan terutamanya oleh penyiasat persendirian P. Balasubramaniam dan pengedar permaidani, Deepak Jaikishan.

Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menyatakan semalam apabila tiba masanya akan menandatangani ikrar itu untuk menyatakan dia tidak terbabit dalam rasuah, jenayah dan tiada berhutang dengan kerajaan.

“Terima kasih Nazri yang mengingatkan rakyat Malaysia bahawa Najib gagal menegaskan apabila menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya TI, Rabu lalu bahawa beliau juga tidak terbabit dalam rasuah, jenayah dan tiada hutang dengan kerajaan.

“Adakah Najib perlu menandatangan semula ikrar itu supaya boleh secara tegas mengisytiharkan seperti yang disebut Nazri.

“Saya tidak rasa Nazri atau mana-mana pemimpin UMNO/BN, termasuk dua mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi berani menentang kenyataan bahawa daripada enam Perdana Menteri sepanjang 56 tahun lalu, Najib adalah Perdana Menteri diburu dan dihantui pelbagai dakwaan besar rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa, termasuk dakwaan terbabit dengan pembunuhan,” katanya.

Kit Siang berkata, Nazri silap apabila mengatakan “hanya orang yang takut saja tidak berani dan memberi pelbagai alasan untuk tidak menandatanganinya”.

Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat juga sudah menandatangani ikrar itu sebelum Najib dan saya tidak ada masalah untuk menandatangani sama.

Bagaimanapun, katanya, beliau mularagu selepas Najib menandatangani ikrar itu yang mengingatkannya kepada cerita Martin Luther, bapa kepada gerakan reformasi yang memberontak menentang Gereja Roman Katolik berhubung penjualan pengampunan daripada dosa.

Sekiranya Perdana Menteri yang menyebabkan Malaysia jatuh ke tahap terendah rasuah berbanding mana-mana Perdana Menteri sepanjang 56 tahun sekelip mata mampu berubah menjadi wira memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa hanya kerana beliau menandatangani ikrar itu.

Kelihatan ikrar itu mempunyai kuasa transformasi lebih hebat daripada pelbagai program dan rancangan transformasi negara kerana berjaya mengubah menjadi pejuang hebat memerangi rasuah.

“Kalau sebelum ini Najib digelar “demokrat palsu”, apakah dia akan menambah gelaran sebagai “pejuang palsu memerangi rasuah.

“Saya bersedia menandatangani ikrar itu tetapi ia mesti sesuatu yang bermakna, bukan seperti penjualan surat pengampunan di Zaman Pertengahan untuk menghapuskan dosa dengan wang, yang mana di Malaysia, untuk membersihkan dosa rasuah hanya perlukan satu tandatangan,” ujarnya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: