Bashir Ishak
ALOR SETAR: Bagi menyelesaikan kemelut membabitkan
kakitangan Insaniah Holdings Sdn Bhd (Insaniah Holdings), sebuah anak
syarikat Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Badan Bertindak Staf Insaniah
Holding menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Kedah, Datuk
Mukhriz Mahathir.
Memorandum tersebut diserahkan di Pejabat
Menteri Besar, Wisma Darul Aman di sini selepas selesai sesi pagi Sidang
Dewan Udangan Negeri hari ini.
Selepas menunggu kebenaran untuk
bertemu Mukhriz, akhirnya 10 orang wakil badan terbabit dapat berbuat
demikian dalam pertemuan ringkas selama kira-kira 15 minit.
Menurut
setiausaha badan tersebut, Mudzafar Aliyasak, memorandum yang
diserahkan itu meminta pertimbangan Mukhriz untuk melihat isu pembayaran
gaji kakitangan Insaniah Holdings yang tertunggak sejak Mei lalu.
Selain
itu, mereka juga merayu supaya Mukhriz melihat isu membabitkan para
pensyarah yang dilantik di bawah Insaniah Holdings di mana pihak Kuin
tidak menyatakan secara rasmi status mereka yang tidak diberikan jadual
waktu serta diarahkan mengosongkan pejabat.
"Begitu juga, pihak
Kuin juga sehingga kini masih belum memberikan jaminan dan kata putus ke
atas kesinambungan kewujudan Insaniah Holdings yang menyebabkan
terganggunya operasi syarikat sehingga gagal menguruskan perjalanan
kuliah-kuliah yang mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran
pelajar," jelasnya.
Mengulas lanjut, Mudzafar berkata Mukhriz telah menyatakan kesediaannya untuk menyelesaikan isu ini dengan segera.
"Beliau
meminta pihak kami bersabar sehingga pelantikan Rektor baru Kuin pada
awal September nanti. Beliau juga berjanji melihat isu ini dari sudut
perundangan.
"Walaupun kami lihat Mukhriz masih bercelaru dalam
isu ini, namun kami berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan
kadar segera terutamanya pembayaran gaji dan status kami sebagai staf,"
katanya lagi.
Insaniah Holdings ditubuhkan pada tahun 2009 dan
menjalankan pelbagai aktiviti termasuk penyenggaraan bangunan dan
pembangunan infrastruktur; menguruskan kuliah-kuliah akademik di bawah
anak syarikat, menguruskan pendidikan menengah dan lain-lain lagi.
Sehingga kini Insaniah Holdings mempunyai lebih 200 orang kakitangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan