KUALA LUMPUR - Dalam usaha membanteras jenayah, kerajaan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, telah memasang 1,712 unit kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tumpuan utama jenayah di seluruh negara sehingga bulan lepas.
  
Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohd Sadique berkata CCTV itu dipasang dan diselenggara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan bimbingan kementerian.
  
Beliau berkata bagi pihak kementerian sendiri ia telah dan akan memasang sebanyak 992 CCTV lagi sejak 2011.
  
Pemasangan CCTV itu dibuat menerusi dua fasa - 496 unit dipasang di 25 PBT dan 496 unit lagi di 25 PBT yang lain.
  
"Pemasangan fasa kedua akan bermula bulan ini dan dijangka siap Ogos tahun depan. Pemilihan lokasi pemasangan CCTV ditentukan oleh Polis Diraja Malaysia berdasarkan kawasan tumpuan utama jenayah di seluruh negara," katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.
  
Beliau menjawab soalan Senator Chandra Mohan yang bertanya mengenai jumlah CCTV yang telah dipasang di seluruh negara.
  
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Noriah Mahat mengenai keberkesanan pemasangan CCTV dalam memerangi jenayah di negara ini, Halimah berkata banyak langkah berterusan perlu diambil dalam memerangi jenayah.
 
"Dalam mewujudkan bandar selamat, penglibatan semua pihak perlu dengan memainkan peranan sebagai 'police citizen' (warga polis) selain tampil sebagai saksi kejadian yang memainkan fungsi sebagai 'neighbourhood watch' (jaga kejiranan)," katanya.  - Bernama