HALAMAN SANTAI
Khamis, 1 Ogos 2013
Undang-undang baru bukan penyelesai jenayah – Tony Pua
Roketkini.com
PETALING JAYA: DAP mengecam tindakan kerajaan yang berusaha melaksanakan undang-undang baru bagi memulihkan kadar jenayah walhal ia tidak mampu mengatasi masalah pokok mengenai perkara itu.
Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seharusnya memberi penekanan terhadap semua aspek jika beliau benar-benar mahu membasmi jenayah.
“Jika kerajaan mengalah kepada permintaan polis untuk melaksanakan penahanan tanpa perbicaraan sebagai penyelesaian bagi membanteras jenayah, ia hanya akan mengubat gejala tetapi tidak menyelesaikan kelemahannya.
“Ini bukan persoalan kerajaan harus memenuhi permintaan polis, persoalannya adalah kerajaan harus melaksanakan apa yang perlu termasuk melakukan pembaharuan dalam pasukan polis.
Pasukan polis perlu lebih profesional, cekap dan bersih. Mereka mesti melatih diri mengenai bagaimana untuk mencari bukti dan ini hanya boleh dilakukan melalui pembaharuan.
“Satu aspek yang paling penting adalah melalui pembentukan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC),” katanya dalam kenyataan, semalam. Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara turut menegaskan melalui IPCMC profesionalisme dan keberkesanan pasukan polis boleh dipantau, sekaligus membantu mencegah amalan rasuah dalam pasukan itu.
Katanya, adalah tidak mengejutkan apabila polis Malaysia disenarai dalam skala 5-5 sebagai paling korup dalam kajian Transparency International’s Global Corruption Barometer.
“Permulaan yang baik adalah dengan menempatkan semula seramai 22,000 anggota polis dari bahagian bukan jenayah kepada barisan hadapan seperti yang disyorkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tun Dzaiddin 2005.
“Unit pentadbiran, pengurusan dan logistik membentuk 40 peratus daripada pasukan polis. Semua unit ini perlu ditempatkan dan diatur semula untuk diletak di barisan hadapan untuk membasmi jenayah,” ujarnya.
Pua turut menggesa lebih ramai anggota polis ditempatkan di kawasan bandar kerana kadar jenayah di lokasi itu lebih tinggi berbanding luar bandar.
“Nisbah polis untuk penduduk adalah 1:270 tetapi di Petaling Jaya nisbahnya adalah 1:470.
“Jadi peruntukan bagi kawasan bandar ternyata lebih diperlukan berbanding kawasan luar bandar,” katanya. -Roketkini.com
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan