IPOH - “Kali terakhir saya bertemu Along di rumah meminta wang RM10
untuk membeli set cat air (water colour) untuk digunakan bagi menyiapkan
projek Pendidikan Seni,” kata suri rumah, Ruziah Samsudin, 42.
Ruziah adalah ibu kepada Aida Farzana Mohd Rose Shaharani, 17, atau
nama manjanya Along, yang dilaporkan hilang sejak 26 Januari lalu ketika
dalam perjalanan ke sebuah pasar raya besar di Kampar bersama
sepupunya.
Menurutnya, Aida Farzana meminta izin untuk pasar raya besar berkenaan bersama sepupunya yang tinggal di Taman Kampar Jaya.
“Along ke rumah sepupunya menaiki motosikal dan selepas saat itu saya
tidak melihat kelibatnya pulang ke rumah hingga ke hari ini (semalam),”
katanya ketika ditemui semalam.
Bapa remaja itu, Mohd Rose Shaharani Kamaruddin, 39, berkata, orang
terakhir yang bersama anaknya adalah sepupu gadis terbabit, Alie Izwani
Sudiman, 17.
“Melalui cerita sepupunya, pada jam 12 tengah hari mereka berjalan kaki
dari Taman Kampar Jaya menuju ke pasar raya besar tersebut yang
terletak lebih kurang satu kilometer namun anak saya mengadu dia penat
berjalan.
“Along mempunyai penyakit asma dan pada ketika itu dia tidak membawa
sebarang ubat bersamanya. Akibat terlalu penat, anak saya menyuruh
sepupunya untuk mengambil motosikal yang ditinggalkan di rumah.
“Tetapi, selepas sepupunya tiba di tempat Along ditinggalkan, Along
sudah tiada,” katanya yang membuka perniagaan kedai makan di Kampar.
Mohd Rose memberitahu, akhirnya, dia membawa Alie Izwani membuat untuk
membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya di Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Kampar lebih kurang jam 11 malam 27 Januari lalu.
“Sehubungan itu, saya berharap sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai
Along untuk segera melaporkannya ke balai polis berhampiran," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan