KELAB GEEENBOC
Pengguna masih ragui Cadbury
Walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pagi tadi mengumumkan produk coklat Cadbury tidak mengandungi DNA babi, namun beberapa pengguna Facebook masih lagi meragui status halal produk tersebut.
Mohamad Zairi Yaacob, 25, mempersoalkan sama ada sampel yang diambil terus dari kilang oleh Jakim itu merupakan dari stok sama yang sebelum ini dikatakan mengandungi DNA babi.
“Sampel di ambil dari kilang, adakah telah dirancang lawatan tersebut? Kemungkinan pengusaha sudah menukarkan kandungan coklat. Yang penting di pasaran, sebab itu yang dibeli oleh pengguna.
Lagi satu, coklat yang telah ditarik balik hari tu nak tahu juga statusnya. Adakah dilupuskan atau dikitar semula, atau dipasarkan di negara bukan Islam, atau tetap dipasarkan dalam negara tapi degan label nonhalal/tiada sebarang label?,” komen Mohamad Zairi.
Pegawai ekskutif komunikasi korporat Nurul Izwanie Hashim, 26, pula berkata dia masih meragui status halal produk Cadbury tersebut.
Masih meragukan.
Namun begitu, terdapat juga beberapa pengguna laman sosial itu yang berfikiran berbeza.
Mohd Farwalis Bakri berkata “Tak salah makan babi kalau tak tahu,” manakala Mohd Fadzli Farid pula secara berjenaka berkata “Cadbury sedap, aku tak dapat nafikan,”.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini mengumumkan produk coklat Cadbury tidak mengandungi DNA babi selepas keputusan terbaru makmal Jabatan Kimia Malaysia diperoleh yang disahkan oleh Jakim.
“Makmal tersebut memang khusus untuk menjalankan ujian sedemikian,” Jamil Khir dipetik sebagai berkata dalam laman portal The Malaysian Insider.
Pada 23 Mei lalu, Kementerian Kesihatan mengesan DNA babi atau porsin dalam dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel bernombor kelompok NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov 2014 dan Coklat Susu dengan Buah Badam dengan nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan 2015. -FMT
Pengguna Islam mahu prosedur penentuan produk halal diperhalusi
Beberapa pengguna Islam menggesa kerajaan mengatasi apa yang dilihat sebagai "kecelaruan" dalam penentuan status halal produk makanan susulan pengumuman dua produk coklat susu Cadbury, yang sebelum ini dilapor mempunyai Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi, kini disahkan tiada bahan itu.
Mereka mahukan perkara itu diberi perhatian bagi mengelak kegusaran dalam kalangan masyarakat Islam berhubung produk makanan.
Eksekutif swasta, Nurdzuladlina Masehat, 27, berkata perlu ada keseragaman dalam membuat ujian ke atas produk makanan bagi mengelak perbezaan keputusan yang hanya mengelirukan pengguna.
"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga perlu membuat pemantauan mengejut secara lebih kerap ke atas pengilang atau pengusaha yang mendapat sijil halal bagi memastikan piawaian halal itu sentiasa dipatuhi," katanya.
Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata analisis makmal Jabatan Kimia terhadap dua produk coklat susu Cadbury - Roast Almond dan Hazelnut (badam dan kacang hazel) - disahkan tiada DNA babi.
Kementerian Kesihatan sebelum ini dilaporkan mengesan dua sampel coklat itu mengandungi DNA babi.
Jamil Khir berkata kedua-dua produk yang dianalisis itu adalah daripada kelompok yang sama dengan produk yang disahkan mengandungi DNA babi sebelum ini, tetapi sampel kali ini diambil terus dari kilang pengeluar produk itu di Shah Alam.
Peniaga, Siti Muzaimah Elias, 39, pula berpendapat kenyataan terbaharu mengenai coklat itu seolah-olah membayangkan status halal di negara ini diperkotak-katikkan.
"Sekejap ada, sekejap tiada (DNA babi). Macam mana tu? Apapun saya beranggapan coklat berkenaan sebagai makanan syubhah, maka saya sekeluarga tidak akan memakannya lagi di masa depan," katanya.
Pemilik pasar raya mini, Zaleha Kasim, 67, berkata pengumuman kerajaan mengenai coklat itu memberi kelegaan kepadanya, namun berharap Jakim perlu meyakinkan pengguna bahawa syarikat pengeluar produk itu benar-benar mematuhi standard halal yang ditetapkan.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata terpulang kepada pengguna Islam untuk membuat keputusan susulan pengumuman terbaharu mengenai coklat itu.
"Biarpun telah ada satu keputusan yang dibuat, terpulang kepada pengguna. Kalau masih ragu-ragu, tidak perlu makan," katanya.
Menurutnya perbezaan keputusan yang dibuat Jabatan Kimia dan Kementerian Kesihatan juga menimbulkan keraguan sedangkan sampel diambil daripada produk keluaran yang sama.
"(Analisis) kena buat dengan teliti, ambil masa tidak apa asalkan pengguna ada satu keputusan jelas terhadap produk," katanya.
Dalam kenyataan berasingan, PPIM berkata boikot pengguna ke atas produk keluaran Cadbury Confectionery Sdn Bhd diteruskan selagi Kementerian Kesihatan tidak menafikan kenyataannya sebelum ini yang mengesahkan kewujudan DNA babi dalam dua produk berkenaan.
Di Labuan, Pengarah Urusan Sky Park Sdn Bhd Datuk Francis Tee berkata jualan coklat berkenaan dikedai-kedainya sedikit terjejas berikutan pengumuman awal yang ia mengandungi DNA babi.
"Namun, kami percaya semuanya akan kembali seperti biasa susulan pengumuman terbaharu hari ini," katanya merujuk kepada kenyataan Jamil Khir. -Bernama
Pengguna Islam mahu prosedur penentuan produk halal diperhalusi
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tetap akan meneruskan kempen boikot ke atas produk keluaran Cadbury Confectionery Sdn Bhd walau ujian Jabatan Kimia tidak menemui DNA babi.
Satu kenyataan PPIM menyebut, mereka meneruskan kempen tersebut kerana maklumat awal yang diperolehi berhubung kandungan DNA babi dalam produk berkenaan berpunca dari satu laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Keputusan ujian Jabatan Kimia itu diumumkan oleh menteri yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
"Kami menghormati kenyataan yang dikeluarkan oleh Jakim. Walau bagaimanapin, kami berpendapat pihak yang perlu mengeluarkan kenyataan untuk menafikan wujudnya penemuan DNA porcine dalam produk Cadbury adalah KKM memandangkan tindakan kami bersama NGO lain adalah berdasarkan kenyataan rasmi KKM.
"Ditegaskan di sini bahawa tindakan boikot pengguna diambil berdasarkan kenyataan KKM semata-mata.
"Boikot pengguna diteruskan selagi KKM tidak menafikan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini di mana KKM telah mengesahkan DN porcine (dalam sampel produk terbabit)," kenyataan PPIM dipetik.
Kempen itu digerakkan oleh PPIM bersama Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR) yang mengumumkan, 800 anggotanya akan menghentikan jualan produk keluaran syarikat induk pengeluar coklat berkenaan.
Sementara itu, jurucakap Cadbury Confectionery berkata mereka menyambut pengumuman dari Jamil Khir hari ini dengan senang hati dan meyakinkan pengguna bahawa produk keluarannya halal.
"Kami masih belum menerima laporan rasmi dari Jakim namun kami gembira kerana Jakim mengumumkan bahawa ujian ke atas dua varian cokal itu tidak mengandundi DNA porcine.
"Kami ingin meyakinkan para pelanggan dan pengguna bahawa kesemua produk kami dilabel dengan teliti dan pengguna boleh menikmatinya dengan yakin.
"Proses pengeluaran mengikut garis panduan halal Jakim dan turut disijilkan," kata ketua hal ehwal korporatnya, Raja Zalina Raja Safran. -mk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan