KUALA LUMPUR: Umno Bahagian Pagoh menyalahkan Pakatan Rakyat berhubung laporan yang mengatakan kemungkinan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan digugurkan dari kabinet baru Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Ketua Umno bahagian Pagoh Ismail Mohamed berkata, desas-desus yang disebar di media sosial dan blog itu adalah usaha pembangkang mahu memecahbelahkan kedua-dua pemimpin itu.
"Datuk Seri Najib sendiri menjelaskan tidak ada langsung timbul mengapa Timbalan Perdana Menteri perlu digugurkan.
"Ini jelas menunjukkan ia adalah usaha pembangkang yang mahu memecahkan gandingan baik antara kedua-dua pemimpin negara," katanya seperti dilapor media.
Isu Muhyiddin kemungkinan berundur mula dimainkan sejak minggu lalu oleh pemimpin dan ahli Umno sendiri.
Antaranya Zaharin Mohd Yasin yang juga Setiausaha BN Bandar Tun Razak yang menulis dalam laman Facebook beliau bahawa Muhyiddin dijangka bercuti panjang mulai hari Jumaat lalu untuk menguruskan soal Umno.
Beliau juga mendakwa Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dijangka dilantik sebagai Pemangku Timbalan Perdana Menteri.
Kenyataan itu kemudian diperkuat lagi dengan penulisan bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin.
Menulis di blognya, Zainuddin berkata kebanyakan rakan karib Muhyiddin sendiri sudahpun maklum dengan niat timbalan presiden Umno itu untuk berundur.
"Walaupun alasannya adalah umur tetapi beliau dikatakan menyimpan perasaan kecewa yang mendalam dalam beberapa hal," kata Zainuddin melalui tulisan di blog zamkata.blogspot.com.
Bagaimanapun, Najib ketika diminta mengulas perkara itu minggu lalu menafikan desas-desus itu dan berkata khidmat Muhyiddin masih diperlukan beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan