MALAYSIAKINI
Peguam Kampung Chubadak Tambahan Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata
pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jika Datuk Bandar Kuala Lumpur
Datuk Seri Ahmad Phesal Talib masih bertegas mahu merobohkan rumah
penduduk kampung itu.
"Memorandum
ini cara pertama, keduanya kita akan hantar memorandum kepada menteri
(Wilayah Persekutuan), Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong
sekiranya tuntutan kami tidak didengar Datuk Bandar.
"Memorandum ini dihantar sebagai tanda kemarahan penduduk terhadap
kenyataan datuk bandar yang bertegas akan melakukan perobohan walaupun
adanya rayuan dikemukakan di Mahkamah Tinggi," katanya kepada Malaysiakini.
Ahmad Zamri menegaskan memorandum hari ini juga menuntut supaya Ahmad
Phesal menghentikan aktiviti perobohan sehingga tamatnya tempoh injunksi
pada 26 Jun nanti.
Selain itu, menuntut supaya datuk bandar berunding dengan penduduk
kampung sebelum melakukan sebarang tindakan ke atas rumah penduduk
kampung Melayu itu.
Beliau
berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada Pegawai Pejabat
Datuk Bandar Mohd Shukri Rohim dan Timbalan Pengarah Jabatan Perancang
Bandar Norjannah Appendi di Dataran DBKL kira-kira jam 10:35 pagi tadi.
Turut hadir memberi sokongan kepada kira-kira 80 penduduk kampung,
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, ahli parlimen Batu Tian Chua,
Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan dan Pengerusi ANAK Mazlan Aliman.
Sebelum itu, dalam ucapannya, Tian yang juga naib presiden PKR
mengesyaki terdapat "muslihat" antara pihak DBKL dan pemaju memandangkan
belum jelas sebab kawasan itu mahu dimajukan.
“Sampai hari ini pihak DBKL tidak jelaskan, apa kegunaan tanah kampung
itu. Sekejap kata nak buat perumahan, sekejap kata nak buat tanah
perkuburan.
'Rakyat tak bernilai'
“Belum jelas pembangunan yang nak dibuat sudah usir penduduk. Saya
percaya ini ada muslihat. Ini satu muslihat kerajaan tidak telus dalam
perkara ini,” katanya.
Manakala
Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kayat pula membidas kerajaan BN yang
didakwanya lebih mementingkan beruang panda dari China berbanding
keperluan penduduk Kg Chubadak Tambahan.
“Rakyat tak bernilai kepada Barisan Nasional dan Umno, Panda lebih
bernilai. Panda dapat berapa? RM25 juta, penduduk dapat berapa? RM7,000
sahaja.
“Mana lagi banyak dapat?” katanya yang disambut dengan sorakan, “Panda” oleh penduduk yang mula berhimpun sejak jam 9.30 pagi.
Sebelum perhimpunan bermula, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin
Ahmad bertemu dengan Zamri memohon supaya pihak penganjur memastikan
perhimpunan berjalan lancar.
Semua
penyokong memegang sepanduk, menuntut supaya datuk bandar menghormati
perintah mahkamah dan menghentikan perobohan rumah mereka.
Antara tertulis “Datuk Bandar DBKL jangan angkuh dan biadap, hormati
perintah mahkamah”, “We are Malaysian but Not Panda” dan
“Mempertahankan, membina dan memperkasa kampung warisan”.
Seramai 12 anggota polis dan pihak penguatkuasa DBKL mengawal keselamatan di depan bangunan DBKL.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan