KL TODAY
Walaupun
sudah hampir setengah tahun sejak PKR memulakan pilihan raya kecil
Kajang untuk mengeluarkan Tan Sri Khalid Ibrahim, namun Menteri Besar
Selangor itu masih selesa di kerusinya hanya kerana satu perkara, iaitu
hubungan baiknya dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata
sumber Pakatan Rakyat (PR).
Walaupun
PKR dan DAP terus menekan Khalid, sumber itu memberitahu The Malaysian
Insider, Langkah Kajang itu tidak pergi ke mana-mana kerana Hadi
sehingga kini masih tidak menyokong usaha untuk mengenepikan Khalid
daripada kerusi tertinggi dalam negeri terkaya itu.
Mereka
berkata, sejak berbulan PKR dan DAP membincangkan di kalangan mereka
bagaimana mahu menggantikan Khalid dengan Presiden PKR yang juga Adun
Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, namun tidak disokong Hadi.
Bahkan
para pemimpin tertinggi PR bertemu Hadi untuk membincangkan usaha
menukar Khalid, tetapi pemimpin PAS itu menolak usaha itu, kata sumber
PKR.
“Kami
memberi semua bukti: kami beritahu beliau tentang lebuhraya Kidex,
tentang rampasan Bible, kami memberi amaran PR boleh kalah di Selangor
jika Khalid kekal sebagai menteri besar, tetapi beliau enggan
mendengarnya.
“Hadi sangat menyokong Khalid, dan dalam PAS segala kata Hadi dipatuhi,” kata pemimpin kanan PKR itu.
Pemimpin
PKR itu berkata, Hadi diikat oleh Khalid melalui menantunya, Zaharudin
Muhammad, yang dilantik sebagai pengurus kepada unit hal ehwal Islam
dalam Perangsang Selangor, anak syarikat pelaburan Kumpulan Darul Ehsan
Berhad (KDEB).
Khalid
juga melantik Raja Idris Kamarudin, salah seorang yang rapat dengan
Hadi, sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) KDEB, kata sumber itu.
“Sesiapa yang mengawal KDEB dan Kumpulan Perangsang, akan mengawal sumber kewangan di Selangor.
“Raja Idris juga adalah sepupu kepada Sultan, jadi dengan beliau bersamanya, Khalid mempunyai kedua-dua istana dan PAS.”
Sumber
juga menambah bahawa Khalid menggunakan Raja Idris untuk mendedahkan
maklumat – termasuk gerakan untuk menjadikan Anwar sebagai menteri besar
Selangor – kepada abang Raja Idris, iaitu blogger popular Raja Petra
Kamarudin.
Menurut
sumber itu, Raja Idris mempunyai hubungan yang rapat dengan Hadi sejak
Hadi menjadi menteri besar Terengganu lagi apabila Raja Idris dilantik
sebagai orang penting dalam Amanah Saham Gemilang (ASG) dan CEO kepada
TDM Berhad, anak syaraikat kerajaan negeri Terengganu yang paling besar.
Sumber itu juga berkata, golongan ulama dalam PAS juga lebih condong kepada Khalid.
“Banyak
bajet negeri juga diberikan kepada Exco dari PAS; RM8 atau 9 juta
diberikan untuk latihan yang terletak di bawah Exco Pendidikan, dan PAS
bebas menggunakan dana itu sebagaimana mereka mahu,” kata sumber itu.
Walaupun
kumpulan Erdogan dalam PAS tidak senang dengan Khalid, mereka terpaksa
mengikut kehendak Hadi dan kumpulan ulama, kata sumber PKR itu.
The
Malaysian Insider juga difahamkan, semasa retreat DAP baru-baru ini, isu
mengeluarkan Khalid menjadi topik hangat, di mana para pemimpin DAP
berpendirian dia perlu ditukar segera.
“DAP
bimbang kita mungkin kehilangan Selangor jika Khalid terus bersikap
begini,” kata pemimpin DAP kepada The Malaysian Insider, tanpa mahu
namanya dinyatakan.
Katanya,
sehingga kini, PAS menentang usaha ini tetapi mereka boleh
mempertimbangkannya jika diberikan kerusi timbalan menteri besar sebagai
jalan kompromi.
Sementara
itu, langkah terakhir yang boleh dibuat oleh PKR dan DAP Selangor yang
mahukan Khalid ditukar – termasuk kumpulan Adun Erdogan dalam PAS –
adalah dengan cara membuat undi tidak percaya, kata sumber DAP dan PKR
itu.
Tetapi ia boleh memberikan kesan negatif kepada PR, kerana PAS boleh meninggalkan pakatan itu begitu sahaja, katanya.
Sumber itu juga tidak menolak kemungkinan Khalid memohon agar DUN dibubarkan dan memanggil satu pilihan raya baru di negeri itu.
Tetapi
tanpa keputusan bersama ketiga-tiga parti, Khalid akan terus kekal
sebagai menteri besar dan terus membuat keputusan tidak popular dan
tanpa sokongan daripada rakan-rakannya dalam PR, dan akan menyusahkan PR
dan penguasaannya di Selangor.
- Disesuaikan dari The Malaysian Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan