KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan
berlaku pencemaran terhadap kedua-dua sampel coklat Cadbury yang diambil
di pasaran untuk dianalisis di makmal sebelum ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata
kedua-dua sampel coklat yang dikesan mengandungi DNA babi (porcine) itu
memang diambil di pasaran, bukan dari kilang dan kemungkinan berlaku
pencemaran mungkin ada.
"Keputusan itu masih positif, tetapi kemungkinan sampel berkenaan
diambil dari tempat yang tercemar tidak boleh diketepikan, dan kami
tidak meragui ujian makmal itu tetapi sampel itu tidak diambil dari
kilang," katanya kepada Bernama hari ini.
Dr Noor Hisham berkata KKM dalam pada itu akan menyiasat untuk mengenal pasti punca pencemaran berkenaan.
Sehubungan itu KKM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan
mengeratkan kerjasama dalam pemantauan dan usaha bersama untuk
menyeragamkan penilaian makmal kepada tanda aras yang disahkan oleh
Standard Malaysia seperti yang telah dinyatakan, katanya.
Pada 24 Mei lepas, KKM mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah mengesan
'porcine' atau DNA babi dalam coklat susu dan kacang Hazel serta coklat
susu dan badam bagi kelompok produk itu bertarikh luput 13 Nov 2014 dan
kelompok bertarikh luput 15 Jan 2015.
Jakim pula semalam mengesahkan dua sampel produk coklat berkenaan yang
diambil terus dari kilang syarikat itu disahkan oleh makmal Jabatan
Kimia, tidak mengandungi DNA babi. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan