KUANTAN - Kemunculan jutaan kupu-kupu gergasi sejak seminggu lepas di
bandar ini menimbulkan banyak tanda tanya dalam kalangan penduduk di
sini dan pelancong luar.
Serangga bersayap ini dilihat sangat aktif pada waktu malam dan sering
mengurumuni kawasan yang melimpahkan cahaya lampu amat terang.
Malah, ia turut mengerumuni padang Stadium Darul Makmur ketika
perlawanan bola sepak Pahang menentang Johor Darul Takzim dalam saingan
separuh akhir Piala FA Jumaat lepas.
Profesor Entomogi Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains
Malaysia Profesor Che Salmah Mat Rawi berkata serangga 'misteri' ini
dikenali dengan nama saintifiknya Lyssa Zampa Docile.
Beliau berkata pelbagai teori boleh dikaitkan dengan kemunculan
kupu-kupu termasuk faktor perubahan cuaca yang menyebabkan peningkatan
mendadak serangga itu di bandar ini.
"Lazimnya, serangga ini mendiami kawasan tanah tinggi tetapi ada
kemungkinan ia boleh didapati dengan banyak di kawasan penanaman atau
kawasan pembangunan terutama pada Mei hingga Ogos setiap tahun.
"Serangga yang bersifat nokturnal ini sangat aktif pada waktu malam dan
akan mudah tertarik dengan cahaya lampu. Pada siang hari, ia akan
berehat dan mendiami kawasan teduh dan sejuk seperti di bumbung-bumbung
rumah atau di kaki pokok-pokok besar," katanya ketika dihubungi di sini.
Prof Che Salmah berkata faktor tarikan lampu, perubahan cuaca, banyak
sumber makanan serta tiada musuh yang mengancam keselamatan serangga ini
turut mempengaruhi kemunculannya.
"Walaupun kajian menyatakan serangga ini tidak beracun, namun ia boleh menyebabkan kegatalan pada kulit jika disentuh.
"Bulu pada kepak serangga ini juga boleh mengganggu penafasan dan amat
sensitif terhadap penghidap penyakit lelah," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan