HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Jun 2014

S'gor akan laksana titah Sultan, kata MB

MALAYSIAKINI


 


Penasihat undang-undang Selangor tetap akan bertemu peguam negara untuk mendapatkan pandangannya tentang status Bible bahasa Melayu dan Iban yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), selaras dengan titah Sultan Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan Majlis Peguam yang berpendapat penasihat undang-undang negeri tiada kedudukan undang-undang untuk membawa pertikaian status Bible tersebut ke mahkamah.

"Tak apa, kalau dia (Majlis Peguam) betul, apa-apa pun pandangan mereka, tatacara kita ialah penasihat undang-undang negeri akan terima khidmat nasihat peguam negara untuk perkara yang dinyatakan Tuanku Sultan dalam kenyataan akhbarnya iaitu perkara ini perlu ditentukan secara mahkamah," kata Khalid pada sidang media di Shah Alam.

Tambahnya, perkara itu diputuskan sewaktu beliau, setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang Selangor menghadap Sultan Selangor pada hari Khamis lepas.

"Saya dan setiausaha kerajaan negeri dan setiausaha undang-undang Selangor telah menghadap Tuanku pada hari Khamis dan pada perjumpaan itu saya bersetuju untuk pihak penasihat undang-undang negeri Selangor untuk dapatkan pandangan peguam negara dari segi pelaksanaan titah Tuanku," katanya.

Sultan Selangor sebelum ini menitahkan agar JAIS segera merujuk kepada pihak pendakwaan untuk memutuskan sama ada naskhah Bible itu yang dirampas dari Persatuan Bible Malaysia pada Januari tahun ini, akan dipulangkan atau dilupuskan.

Setiausaha sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataannya menyebut, baginda berhasrat agar keputusan berkenaan dilaksanakan mengikut proses undang-undang.

Titah itu dibuat baginda selepas pejabat peguam negara memutuskan yang pihaknya tidak akan membuat sebarang dakwaan dalam kes rampasan Bible itu oleh JAIS yang didakwa mengandungi kalimah Allah.

Dalam maklum balas segera, Majlis Peguam semalam berpendirian bahawa penasihat undang-undang Selangor tidak mempunyai kelayakan (locus standi) untuk memohon kepada mahkamah berhubung naskhah Bible yang dirampas itu.

Pengerusinya Christopher Leong berkata Seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah hanya terpakai jika terdapat perbicaraan yang belum selesai, manakala Seksyen 407A terpakai jika terdapat unsur jenayah yang sedia ada di mahkamah.

Khalid sebelum itu menyampaikan sumbangan moreh dari kerajaan negeri kepada masjid dan surau di sekitar Selangor.

Sumbangan disampaikan selepas selesai 'Seminar Pengurusan Masjid dan Surau Selangor sempena penyampaian sumbangan moreh negeri Selangor', di Masjid Shah Alam.

Setiap masjid menerima sumbangan sebanyak RM,650 dan surau pula menerima sumbangan sebanyak RM1,250.

Tiada ulasan: