SHAH ALAM: Seorang pengantin, Zarena Abdul Majid yang ditahan Jabatan
Agama Islam Selangor (JAIS) ketika majlis perkahwinannya mengikut
upacara Hindu sedang berlangsung Ahad lalu, hari ini berharap JAIS dapat
membantunya dalam permohonan menukar status agama di Mykad.
Dia yang juga kerani pentadbiran di sebuah syarikat swasta berkata, dia
dan adik beradiknya dibesarkan oleh ibu mengikut ajaran Hindu setelah
bapanya yang mualaf meninggalkan keluarga berkenaan sejak dia masih
kecil.
Zarena berkata, ibu bapa bercerai lebih 25 tahun lalu dan dia sudah
beberapa kali cuba memohon penukaran status agama di Mykad pada 2007
namun tidak berjaya kerana penukaran tersebut memerlukan tandatangan
bapanya.
Malah, pengantin wanita tersebut melakukan permohonan sekali lagi pada April lalu.
Sehubungan itu, beliau berharap kes itu dapat diselesaikan dengan kadar
segera bagi membolehkan beliau meneruskan perkahwinannya.
"Saya akan menulis surat rayuan secepat mungkin supaya kes saya tidak berlarutan.
"Saya berharap JAIS akan membantu," katanya kepada pemberita.
Ahad lalu, JAIS telah menahan Zarena ketika perkahwinannya dengan
pasangannya, seorang lelaki beragama Hindu, sedang berlangsung di sebuah
kuil di Petaling Jaya.
Wanita berusia 32 tahun yang lengkap berpakaian pengantin itu ditahan
oleh pasukan anggota JAIS di Petaling Jaya pada kira-kira pukul 10 pagi.
Seterusnya, semalam beliau seterusnya dibawa ke ibu pejabat pihak berkuasa tersebut untuk siasatan.
Operasi tersebut dijalankan dengan bantuan anggota polis yang berkawal
di luar kawasan majlis tersebut, manakala keluarga mempelai memberi
kerjasama baik.
JAIS dilaporkan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4 Enakmen Agama
Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.
Peruntukan itu meliputi kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang beragama Islam supaya mengubah keimanan.
Zarena berkata, dalam pertemuannya dengan JAIS, pihak berwajib itu
telah memintanya menukar nama dan agamanya bagi mengelak beliau diheret
ke mahkamah atas dakwaan murtad.
Katanya, JAIS berkata demikian setelah Zarena memberitahu bahawa dia
dan adik beradiknya dibesarkan oleh ibu mengikut ajaran Hindu sejak
beliau masih kecil.
"Selepas berbincang dengan JAIS, mereka menasihatkan saya untuk membuat
rayuan bagi menukar nama dan agama saya seperti yang dinyatakan dalam
MyKad kami.
"Walau bagaimanapun, rayuan itu bergantung kepada hasil siasatan JAIS.
"Jika masalah ini tidak dapat diselesaikan kami akan berdepan dengan tindakan mahkamah kerana menghina Islam," katanya.
Menurut Zarena, bapanya, Abdul Majid merupakan seorang mualaf sebelum ini menukar agama beliau kepada Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan