Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Peristiwa rusuhan kaum yang kini menjadi lipatan sejarah
perlu diteladani rakyat Malaysia agar ia tidak berulang lagi, kata Ketua
Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis
Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak .
Meskipun pelbagai pihak, terutamanya pembangkang mendesak dimansuhkan
akta berkenaan, Mustafa berpendapat Akta Hasutan perlu diteruskan bagi
mengekalkan kestabilan sedia ada.
"Kita jangan lupa kepada sejarah. Kita pernah melihat peristiwa
pertembungan agama dan kaum serta ada pihak yang sengaja mencetuskan
perbalahan dan perpecahan.
"Apabila kebencian dan amarah sudah merebak, maka ia boleh membawa
kepada keadaan yang tidak tenteram," katanya ketika dihubungi Antarapos
baru-baru ini.
Akta Hasutan 1948 menjadi perdebatan ramai pihak, terutamanya
pembangkang untuk mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
mengotakan janji untuk memansuhkannya.
Rata-rata pemimpin Pakatan Rakyat menyifatkan penangkapan di bawah akta
itu sebagai satu penganiayaan terhadap mereka oleh pemerintah 'kuku
besi'.
Antara Ahli Parlimen yang didakwa mengikut akta itu adalah Rafizi Ramli
(Pandan), N Surendran (Padang Serai), Teressa Kok (Seputeh), Chua Tian
Chang (Batu), dan Khalid Samad (Shah Alam).
ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan ADUN Seri Delima RSN Rayer
serta bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin
turut didakwa mengikut akta berkenaan.
Malah tindakan mengenakan akta tersebut kepada ahli akademik dan mahasiswa sebagai menidakkan kebebasan bersuara.
Mengulas lanjut Mustafa mengingatkan tindakan golongan yang tidak
berpuas hati dengan keperluan mengekalkan Akta Hasutan itu sebagai mahu
meneruskan provokasi ke atas perkara-perkara yang tertentu.
"Saya fikir mereka yang mendesak kuat untuk menghapuskan akta ini harus
ingat, jika tiada akta hasutan maka akan membuka ruang untuk
memperkatakan apa sahaja sehingga boleh menjejaskan keharmonian rakyat,
termasuk mempersoalkan perkara yang telah termaktub dalam perlembagaan
kita," katanya.
Baru-baru ini pensyarah undang-undang Universiti Malaya Dr Azmi Sharom
didakwa berhubung artikel bertajuk "Take Perak crisis route for speedy
end to Selangor impasse, Pakatan told" (Ambil jalan krisis Perak,
selesaikan segera kebuntuan Selangor, Pakatan diberitahu), dilaporkan
sebuah portal berita pada 14 Ogos.
Sebelum ini juga Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya
Universiti Malaya (UMcedel) Profesor Datuk Dr Redzuan Othman diarahkan
pengurusan institusi awam berkenaan untuk meletak jawatan selepas
dikaitkan dengan rasa tidak puas hati kerajaan Persekutuan terhadap
hasil dapatan kajiannya yang lebih cenderung kepada pembangkang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan