SHAH ALAM - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mencabar Ketua Polis Negara mengadakan perbahasan secara terbuka bersabit isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS).
"Saya cabar, mari kita adakan perbahasan terbuka tentang PPS. Beranikah anda sebagai Ketua Polis Negara untuk adakan perbahasan tentang ucapan beliau yang tidak bertanggungjawab menggunakan kuasa untuk tangkap YB Phee (Boon Poh).
"Bilakah giliran saya akan ditangkap. Saya tunggu beliau!," katanya ditujukan kepada Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, hari ini.
Guan Eng hadir kira-kira jam 9 pagi bagi menunjukkan sokongan kepada lebih 130 anggota PPS yang dijangka direman hari ini.
Turut kelihatan Ketua Biro Perundangan DAP, Gobind Singh Deo, Adun Jawi, Soon Lip Chee, Adun Kebun Bunga, Cheah Kah Peng dan Adun Seri Delima, RSN Rayer.
Semalam, Khalid memberi amaran kepada anggota PPS supaya serah diri atau pihaknya akan menyerbu kediaman mereka yang terlibat.
Sebelah paginya, polis menahan lebih 154 anggota PPS selepas mereka mengambil bahagian dalam perarakan sambutan hari kemerdekaan di Esplanade di Pulau Pinang.
Khalid mengesahkan bahawa PPS adalah satu pertubuhan yang tidak berdaftar mengikut Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).
Khalid berkata, PPS dianggap sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan 1966.
Menurutnya, polis akan menjalankan siasatan ke atas aktiviti PPS dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukkan undang-undang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan