HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 September 2014

KJ: Berdepan undang-undang jika laku kesalahan

MALAYSIAKINI


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, siasatan serta pendakwaan yang dikenakan terhadap pemimpin politik dari parti pembangkang bukan merupakan tekanan politik terhadap mereka.

Sebaliknya, kata beliau, sesiapa yang melakukan kesalahan, perlu berdepan dengan tindakan undang-undang tanpa mensasarkan kepada mana-mana individu.

Malah, katanya, pendakwaan di bawah Akta Hasutan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat itu dibuat memandangkan tidak ada undang-undang baru yang boleh digunakan.

"Bukan tekanan politik. Tetapi dia (pemimpin politik) dah buat sesuatu yang dianggap salah. Maka, mereka kena berdepan dengan undang-undang. Itu sahaja.

"Tidak ada apa-apa usaha untuk mensasarkan sesiapa.

"Tak ada undang-undang baru. Jadi kita kena guna undang-undang yang sedia ada. Sambil menggubal undang-undang yang baru, kita kena bertindak.

"Takkan kita tak nak bertindak,"katanya dalam sidang media selepas menghadiri Senamrobik Merdeka pagi ini.

Pada 19 Ogos lalu, MP Padang Serai N Surendran dituduh menghasut berhubung kenyataannya mengenai rayuan kes Liwat II yang dihadapi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, ADUN Seri Delima, RSN Rayer juga didakwa di sebuah mahkamah sesyen di Pulau Pinang kerana dituduh mengeluarkan perkataan 'celaka' terhadap tiga orang ahli Umno.

 Naib Presiden PKR Rafizi Ramli juga dituduh dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan mengaibkan dan mendatangkan kemarahan kepada ahli Umno.

MP Shah Alam Khalid Samad turut dituduh dibawah Akta Hasutan kerana kenyataannya berhubung sultan Selangor dalam isu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Manakala, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin pula didakwa kerana memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dua tahun lalu.

Tiada ulasan: