Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod
 
 
 
SHAH ALAM - Sebarang kenyataan berkaitan dengan kes yang sedang dihujah di mahkamah tidak boleh dibincangkan secara umum oleh mana-mana pihak, kata Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

Beliau berkata demikian merujuk isu royalti minyak Kelantan yang dibangkitkan oleh beberapa pihak semasa kempen PRK Dun Pengkalan Kubor.

Menurutnya, perbincangan umum tentang perkara itu boleh dianggap menghina mahkamah atau sub judis.

"Lebih elok tidak berbincang perkara yang sedang dibicarakan di mahkamah kerana susah untuk asingkan mana yang relevan atau tidak dengan kes di mahkamah sebab semuanya berkaitan.

"Sesetengah perbincangan yang dianggap tidak menyentuh isu di mahkamah (dan dibincangkan secara terbuka) sebenarnya mungkin menyentuh isu tersebut," katanya, semalam.

Menurutnya, ini kerana tafsiran sesetengah pihak berbeza dengan tafsiran di mahkamah kerana ada yang mungkin berpendapat perbincangan itu tidak menganggu kes mahkamah tetapi mahkamah mempunyai tafsiran yang lain.

"Itu bahayanya kalau bincang isu ini di luar mahkamah secara umum khususnya dalam ceramah-ceramah pilihan raya," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas berhubung tindakan yang boleh diambil ke atas pihak yang berdegil mengeluarkan kenyataan atau bercakap mengenai kes di mahkamah, Nik Ahmad Kamal berkata, jika laporan berhubung kesalahan itu dibuat kepada pihak mahkamah, tindakan menghina mahkamah boleh dimulakan.

"Kebiasaannya laporan tersebut akan dibuat pihak peguam, sebelum tindakan dijalankan," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Pas untuk menyiasat sendiri kewajaran Kelantan mendapat royalti minyak RM12 bilion yang didakwa belum dijelaskan oleh Kerajaan Pusat.

Muhyiddin berkata, Pas boleh menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat perkara itu secara terperinci dari aspek undang-undang dan Perlembagaan.

"Isu Kerajaan Persekutuan yang didakwa menipu dan berhutang dengan Kelantan adalah tidak benar.

Tiada benda kita nak selindung. Semua pentadbiran akaun Petronas adalah telus dan tertakluk kepada peraturan dan undang-undang," katanya, kelmarin.